Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum! Saya masuk Masjid waktu azan, mana lebih utama, solat sunat tahiyatul masjid atau solat sunat Rawatib atau boleh dilakukan dengan menyatukan 2 niat. Mohon pecerahan. Terimakasih!
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, keutamaannya adalah menunaikan solat sunat tahiyatul masjid terlebih dahulu sebagai penghormatan kepada masjid. Tahiyatul masjid ialah solat dua rakaat yang dilakukan oleh setiap orang yang masuk ke dalam masjid sebelum dia duduk. Berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda : إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ Maksudnya : “Jika salah seorang daripada kalian masuk ke dalam masjid maka solatlah sebanyak dua rakaat sebelum dia duduk.” (Riwayat al-Bukhari) Namun, jika masa tidak mencukupi melainkan untuk satu solat sunat sahaja, maka tunaikan solat sunat qobliyah kerana solat sunat tahiyatul masjid terlaksana dengan melakukan solat fardhu atau solat sunat lain sekalipun ia tidak diniatkan solat tahiyat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.