BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, Tuan/ puan, Saya mempunyai pertanyaan mengenai amanah, sebagai contoh, seorang sahabat bercerita mengenai sesuatu perkara kepada sekumpulan orang, saya tidak mendengar bahawa apa yang diberitahu olehnya sebagai satu rahsia, tetapi ada sahabat lain yang memesan bahawa apa yang diberitahu oleh sahabat tadi adalah rahsia. Sekiranya saya menceritakan apa yang diceritakan adakah saya dikira pecah rahsia seseorang? Adakah saya berdosa? Sedangkan perkara tersebut bukan sesuatu yang mengaibkan beliau, cuma urusan kerja sahaja..mohon bantuan pencerahan dalam isu ini. Sekian, terima kasih. Jazakallah khairan.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, apabila sampai kepada kita sesuatu berita dan telah ada peringatan supaya tidak menyampaikan kepada orang lain kerana dianggap sebagai suatu rahsia, maka bersikap amanahlah dengan peringatan tersebut. Mungkin pada tanggapan kita ia bukanlah suatu perkara rahsia, tetapi mungkin pada pandangan pihak lain, ia bukanlah perkara yang boleh dihebahkan sebarangan. Sebaiknya, peganglah pada amanah tersebut dengan tidak menceritan kepada pihak-pihak lain. Itu adalah lebih baik dalam menjaga hubungan baik sesama manusia. Terdapat hadith berkenaan menjaga hak-hak sesama manusia sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim yang lain, dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 231

message user image