Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Aqiqah & Korban Saya mempunyai seorang anak syurga. Bayi perempuan saya meninggal dunia lebih kurang sejam lebih selepas dilahirkan (kini sudah 1 tahun 6 bulan). Pada tahun hadapan, keluarga saya merancang untuk melakukan ibadah korban dan saya bersetuju untuk mengambil 1/7 bahagian. Bolehkah saya niatkan 1/7 bahagian itu utk aqiqah anak saya? Apa hukumnya jika berkongsi bahagian seperti itu? Pada siapakah saya harus sedekahkan makanan/daging tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, jika yang dimaksudkan membuat aqiqah bersekali dengan ibadah qurban pada seekor lembu adalah dibolehkan. Contoh satu bahagian lembu untuk aqiqah, manakala enam bahagian untuk qurban. Dibolehkan ahli keluarga untuk makan daging aqiqah dan disunatkan pula dimasak dahulu sebelum disedekahkan. Ia sunat disedekahkan sebahagiannya kepada fakir miskin dan sebahagiannya lagi disedekahkan kepada jiran tetangga. Daging aqiqah ini, jika ia akikah sunat, maka bolehlah dimakan oleh orang-orang yang melakukan akikah itu. Jika ia akikah wajib seperti ia dinazarkan, maka haram bagi orang yang melakukan aqiqah itu memakannya, bahkan wajib disedekahkan kesemuanya kepada fakir miskin dalam keadaan mentah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.