BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Baru ni berlaku pertengkaran antara kami suami isteri, dalam keadaan itu, saya menegur kata-kata isteri saya "Awak ni bercakap macam orang takda agama.", dan dalam keadaan marah dia menjawap "Memang takda agama pun." Saya telah menyuruh dia beristighfar dan mengucap semula syahadah. Apabila reda, dia memberitahu saya, dia tak maksudkan apa yg di katakan itu. Sy nak tahu, apakah terbatal akidah isteri saya dengan kata-kata dia itu, walaupun dlm hati nya tak bermaksud apa yg dikatakan? Jika ya, adakah kesan terhadap perkahwinan kami?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, akidah boleh terbatal sama ada melalui perkataan, perbuatan dan pengakuan. Justeru, membuat pengakuan melalui perkataan “memang takda agama pun” merupakan antara ciri yang boleh membatalkan akidah. Adapun, semasa ayat tersebut dilafazkan, isteri tuan berada dalam keadaan marah dan beliau tidak berniat terhadap apa yang diperkatakannya. Kita sedia maklum, bila dalam keadaan marah emosi seseorang menjadi tidak stabil, terganggu, stress dan seumpamanya. Ketika marahlah syaitan berperanan menggangu manusia. Ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Shofiyah binti Huyay, bahawa Rasulullah SAW bersabda; إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنَ الإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan menyusup masuk dalam diri manusia melalui peredaran darah”. (Riwayat al-Bukhari) Justeru, tidaklah terbatal akidah isteri tuan, namun beliau perlu beristighfar dan memohon perlindungan Allah SWT, sebagaimana firmanNya yang bermaksud; “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-A’raf : 200) Disamping sentiasa memperbaharui syahadah di dalam solat dan di luar solat, sesuai dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Perbaharuilah iman kamu” Rasulullah ditanya : ”Bagaimana cara untuk memperbaharui iman kami?”. Rasulullah SAW bersabda : “Perbanyakkan berkata لا اله الا الله. (Riwayat Ahmad) Perbuatan tersebut tidak memberi kesan ke atas perkahwinan tuan. Sebaiknya, elakkan pertengkaran dalam rumahtangga, dalam banyak perkara berbincanglah secara berhemah sesama suami isteri agar wujud keharmonian, semoga beroleh keberkatan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 124

message user image