BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Assalammualaikumwarahmatullahiwabarakatuh ustazah. Pertama sekali saya mohon maaf kerana menghantar email ini. saya faham sepatutnya email ini hanyalah untuk urusan berkaitan rasmi sahaja tetapi saya perlukan pendapat insan yang pakar dalam bidangnya untuk bantu saya. Ustazah, Saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi luangkan masa untuk baca email saya yang mungkin akan panjang berjela. Saya harap Allah makbulkan doa saya supaya perkara yang terbuku dihati ini dapat dirungkaikan dengan baik dan dapat jalan penyelesaian yang sebaik baiknya. Dalam lubuk hati saya dan dalam benak ini saya asyik memikir mikir perkara yang sama. selagi saya tidak luahkan saya rasa perkara ini akan terus bermain dalam ingatan. Ustazah, Untuk makluman ustatazah adik saya telah pun dijemput Allah pada tanggal 28hb September 2017. Arwah telah pun terlibat dengan kemalangan jalanraya. Muda lagi usianya 27tahun meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan berusia 3 tahun. Adik bongsu yang menjadi buah hati pengarang jantung kepada emak. Emak yang amat saya kasihi. Saya faham emak sedih saat memerima berita yang tak sanggup saya maklumkan pada emak pada hari kejadian. Tapi emak insan yang kuat, walaupun saya mendengar sebak tangisannya ketika mengaji quran tiap kali selepas solat. saya faham sedih yang tidak dapat diucap dengan kata kata terbuku dihati emak. Tapi emak Redha dengan ketentuan Allah. Siapalah kami sekeluarga, hamba Allah yang hina nak menyangkal takdir Allah yang maha Esa dan maha Berkuasa. Alhamdulillah Allah mudahkan urusan Arwah. Ustazah, Emak sangat sayangkan arwah. Saya faham ibu mana yang tidak sayangkan anak. Setiap kali ada masalah emaklah tempat utama yang dicari termasuklah urusan urusan kewangan. Jika arwah tidak cukup duit, emaklah tempat pertama yang akan dituju. Mak bukan orang senang. Masa muda bantu ayah menoreh getah petang petang ambil upah menjahit. Tapi sekarang keadaan yang agak uzur halang mak untuk bekerja. Saya ada bantu mak rm500 sebulan tambah dengan duit upah getah RM300 sebulan. Duit itu mak gunakan untuk keperluan bulanan beliau. Rezeki berkat barangkali. Walaupun tidak bekerja dengan RM 800 sebulan mak mampu bantu anak anak. Alhamdulillah tiap kali arwah berhutang dengan mak dia akan cepat cepat bayar. Duit gaji yang ada cukup cukup untuk menyara arwah beserta anak dan isteri, dan mungkin kesempitan itu tidak dapat membuatkan arwah untuk memberikan wang saraan pada emak tiap tiap bulan. Yang mana saya rasa sebagai anak itulah antara tanggungjawab yang perlu kita laksanakan untuk bantu dan memudahkan urusan ibu, tambahan lagi arwah anak lelaki. Rezeki Isteri dan anak Arwah Allah beri. Alhamdulillah Allah beri kemudahan urusan pampasan pencen ilat pada isteri dan anak arwah. RM3200 secara purata isteri dan anak terima. Hubungan kami sekeluarga dengan adik ipar dan keluarga sangat baik, sehingga untuk meluahkan perkara yang sepatutnya pada adik ipar saya pun saya rasa tidak mampu demi nak menjaga ukhwah kami sekeluarga. Sedangkan sepatuntya saya titipkan perkara yang sepatutnya pada isteri arwah. Apa yang saya khuatir, pendapat dan pandangan saya itu terpesong dari hukum Allah. Saya memerlukan orang yang pakar untuk memberikan pandangan dan pendapat yang tidak bercanggah dengan hukum Allah. Bantu saya ustazah. Saya Risau hati mak wujud rasa tidak redha dengan apa yang telah emak bantu arwah dan keluarga. Nauzubillah Azabnya Arwah di Sana. Saya kerap berhubung dengan mak. Tiap tiap hari wajib telefon mak. Sebab saya taknak mak rasa keseorangan dan tidak dikasihi oleh anak anaknya. Kebanyakan masalah atau kerisauan emak akan cerita pada saya berbanding adik beradik yang lain. Isteri Arwah juga begitu, kerap telefon mak dan maklum pelbagai pampasan dan insuran yang diperolehi. Semalam isteri arwah telefon dia dapat pencen ilat (SOCSO) 3400 sebulan sepanjang hayatnya dan sehingga si anak berusia 21tahun. Mak dengar tanpa memberi maklumbalas yang sepertimana bermain dalam benak fikiran mak. Biasanya mak akan telefon saya dan bercerita dengan saya perbualan dia dan isteri arwah. Semalam mak telefon. Tiap tiap kali mak bercerita pasal arwah air matanya tak berhenti mengalir sedih sayu bercampur baur. Saya faham walaupun saya bukan ibu kepada arwah. Ikatan darah ini merasa sangat hiba bila melihat emak dalam berduka. Tiap tiap kali saya sedekahkan bacaan ayat ayat suci dan berdoa air mata ini juga sukar untuk dibendung bendung. Apa yang mak ceritakan bagaikan pita yang diulang ulang dalam benak pemikiran saya. Lisa telefon, (Bukan nama sebenar isteri arwah) banyak juga dia dapat pampasan. Pencen ilat rm3200 sebulan. Simpan utk aulia (Bukan nama sebenar anak arwah) RM 1K, simpan untuk lisa RM1K dan 1K lagi lisa guna untuk keperluan dia dan anak. Hmm cara lisa bercerita tu nampak macam seronok dapat duit. Mak mulakan bicara dia. Dia bercerita tu macam seronok dapat duit, tapi dia tak tahu luluhnya hati emak ni yang dah hilang anak. Mak dah mula sebak dan menangis. Saya dengar dan tanya mak. Lisa dah bayar hutang arwah pada mak ke belum (Sebelum arwah meninggal dia ada pesan pada isteri untuk jelaskan hutang dia pada mak). Belum lagi. Lisa bagitahu tunggu duit KWSP (Yang tidak tahu bila masa akan diperolehi). Hari tu dia ada bagi tahu syarikat ada bagi duit sedikit untuk selesaikan hutang arwah jika ada. Duit tu lisa bagi maa(Ibu lisa). Lisa kata arwah ada hutang juga dengan tokma. Masa hayat arwah ni mak dok bantu. Kereta yang arwah pakai, kenduri kendara masa arwah kawin, baiki kereta kalau rosak emak yang keluarkan duit. Tapi kalau lisa tak bayar pun mak redha. Arwah anak mak, azab sangat dia kalo tak dapat redha mak. Mak bersuara dengan saya rasa risau kalau ada terpalit rasa tidak redho dalam hati emak. Nauzubillahiminzalik. Saya menyampuk lagi. Lisa takde bagitahu mak nak upah haji dengan bayar fidyah arwah ke mak. Ada hari hari yang arwah tak puasa tu. Arwah tinggal duit, kita buatlah upah haji dan bayarlah fidyah untuk dia. Doa doa moga kurang seksaan dan azab yang diterima arwah. Hutang hutang arwah patut selesaikan dahulu. Ada lisa nak bagi mak duit ke? Saya tanya pada mak lagi. Lisa tak de bagitahu pulak nak bayar fidyah tu. Cuma dia mintak tanyakan ustaz rahim pasal upah haji nanti masa kita nak bagi sumbangan pada tahfiz (Mak selalu sedekah pada maahad tahfiz dekat kampung kami. Mak kata agar Allah terima dan mak sedekahkan pahala ini buat arwah ayah dan adik). Engkau bagitahulah pada dia. Masa hayat arwah tak dapat nak bantu mak. Lisa dapat banyak pampasan. Kalo dia dapat bagi mak rm200 sebulan pun takpe. Mak bukan nak banyak. (Saya faham perasaan mak. mungkin dia rasa dengan ada duit tu terasa terubat rindu pada arwah dan saya yakin duit tu juga mak akan beri sumbanyan pada mana mana tahfiz atau masjid). Berat rasa tanggungjawab saya untuk tegur lisa. Khuatir risau takut lisa anggap kami sekeluarga nakkan duit yang dia dapat. Tapi saya berpendapat lisa perlu beri mak duit. Arwah tinggalkan duit utk saraan isteri dan anak, dan ibu juga adalah tanggungjawab anak juga. Redha dan kasih ibu perlu. Saya kesian pada arwah adik saya, saya ingin bantu arwah adik saya untuk kami sekeluarga diterima syurga Allah. Harap ustazah dapat beri pandangan. Maaf atas masa yang ustazah luangkan untuk baca cerpen saya ni. Malu pun ada. Saya bukan ada tokoh untuk mengarang tetapi bagi memastikan maklumat dan masalah saya dapat diterangkan dengan jelas. Saya rasa saya perlu berbuat begini. Terima Kasih dan moga Allah mudahkan urusan ustazah sekeluarga.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, dalam perkara ini, puan perlu ambil maklum mengenai kedudukan wang pampasan/ pencen ilat/ insuran arwah yang diterima oleh pihak isteri arwah. Wang pencen tidak dikira sebagai harta pusaka yang perlu difaraidkan kepada warisnya. Ini tertakluk kepada Akta Pencen sebagaimana yang telah ditetapkan oleh majikan. Berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-21 yang bersidang pada 12 September 1988 telah membincangkan Ganjaran Terbitan Dan Pencen Terbitan. Muzakarah memutuskan bahawa, ganjaran terbitan dan pencen terbitan tidak termasuk sebagai harta pusaka, maka kaedah pembahagiannya tidak tertakluk kepada kaedah pembahagian harta pusaka. Bagi pekerja yang telah meninggal dunia, bayaran pencen selepas kematiannya akan diberi kepada balu dan/atau anak dengan sewajarnya. Berikut adalah kedudukan harta yang dikategorikan sebagai pusaka atau tidak yang boleh difaraidkan iaitu: HARTA PUSAKA: 1. Semua harta yang diperolehi secara halal melalui jual beli, hibah, wasiat, pembahagian pusaka, hadiah, sedekah dan sebagainya. 2. Sewa yang masih belum dijelaskan kepada si mati. 3. Hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematiannya. 4. Dividen/faedah yang terbit daripada harta si mati. 5. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 6. Barang yang terbit selepas kematiannya dari usaha semasa hayatnya, misalnya ikan yang masuk ke dalam bubu yang ditahan oleh si mati. BUKAN HARTA PUSAKA : 1. Harta yang telah diberi (hibah), dijual, diwakafkan, dan dipegang amanah oleh si mati kepada seseorang semasa hayatnya. 2. Khairat kematian. 3. Pemberian oleh orang yang menziarahi kematian. 4. Imbuhan, pampasan dan saguhati. 5. Pencen terbitan. 6. Bayaran-bayaran di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) 7. Harta yang dipinjamkan daripada orang semasa hayatnya. Ini bermakna pencen ilat arwah yang diterima oleh isteri sebanyak RM3200 itu adalah menjadi milik isteri dan anak-anaknya. Namun, pihak isteri boleh menggunakannya untuk menyumbang kepada ibu arwah, sedekah surau, tahfiz dan sebagainya. Berkenaan wang KWSP yang bakal diperolehi kelak, ia merupakan harta pusaka arwah yang perlu difaraidkan kepada warisnya termasuklah ibunya. Sebelum harta arwah boleh difaraidkan, wajib dilunaskan hutang/ fidyah arwah, wasiat jika ada, zakat dan sebagainya menggunakan wang pusaka tersebut. Sebaiknya, semua ahli keluarga dan waris arwah hendaklah berbincang bersama secara hikmah supaya perkara ini boleh diselesaikan dengan baik dan tidak berlaku perselisihan yang berpanjangan. Kebaikan ibu arwah kepada anaknya dan kebaikan arwah kepada ibunya mudah-mudahan menjadi jariah yang diterima Allah SWT dan tidak perlu diungkit-ungkitkan. Semua anak-anak wajib berbakti kepada ibu bapanya, tiada perbezaan sama ada anak kesayangan atau tidak. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 525

message user image