BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalam. Saya ingin bertanya, suami saya mempunyai anak tidak sah taraf dari hubungannya dengan bekas isteri (berkahwin selepas anak dilahirkan) dan kemudian mereka bercerai. Suami telah menjaga anak tersebut dari masa isterinya keluar rumah. Di dalam sijil kelahiran anak, terdapat nama bapa tetapi di binkan dengan nama Abdullah. Disini, saya mempunyai keraguan. Apakah aurat antara saya dan anak suami saya ini. Dan yang kedua, suami telah menuntut hak penjagaan anak dan diberi hak penjagaan dengan persetujuan ibu anak tersebut. Tetapi bukankah suami tidak boleh mendapat hak kerana anak itu anak luar nikah? Saya amat bimbang dengan batas aurat saya di masa hadapan. Saya juga malu untuk memberitahu suami tentang ini kerana takut dikatakan seorang ibu tiri yanh jahat. Kami sekeluarga jahil tentang hukum ini. Harap dapat diperjelaskan.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan; 1. Aurat puan dengan anak tersebut adalah sama seperti aurat dengan lelaki lain yang bukan mahram. Puan wajib menutup aurat apabila anak tersebut telah mencapai umur akil baligh. 2. Benar, hak jagaan anak (hadhanah) bagi anak tidak sah taraf adalah kepada ibunya dan keluarga sebelah ibunya sahaja. Melainkan jika terdapat perintah mahkamah atau budibicara/ persetujuan bersama diantara bekas isteri dan suami puan. Jika puan masih bimbang dari segi aurat, puan boleh jadikannya sebagai anak susuan atau anak saudara susuan, jika anak tersebut berusia kurang 2 tahun. Penyusuan yang menyebabkan anak susuan itu menjadi mahram adalah dengan memenuhi syarat berikut: i. Anak yang disusukan itu belum mencapai usia dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah. ii. Susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi. iii. Bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan yang mengenyangkan. Anak susuan yang memenuhi syarat tersebut adalah menjadi mahram muabbad (selama-lamanya) dengan ibu susuan, anak-anak dan suami dan keluarga susuannya. Boleh rujuk keputusan fatwa berkenaan perkara ini; http://www.muftiselangor.gov.my/awam/fatwa/fatwa-terkini/267-hukum-wanita-menyusukan-anak-angkat Oleh kerana anak tersebut di bawah jagaan suami puan, sebaiknya puan turut berlapang dada menerimanya dan sama-sama memeliharanya dengan baik, penuh kasih sayang tanpa membezakan latar belakangnya. Setiap anak itu adalah fitrah, jadi didiklah dengan didikan agama, asuh dengan pendekatan al-Quran, agar kelak menjadi anak yang beriman, soleh dan berjaya dunia akhirat. Mudah-mudahan puan sekeluarga turut sama-sama belajar mendalami ilmu agama agar beroleh rumah tangga yang bahagia. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 193

message user image