Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Adakah agihan zakat boleh diberikan kepada lelaki yang baru kehilangan pekerjaan dan menampung 5 orang anak yang masih bersekolah dan seorang isteri. Kehidupan lelaki tersebut sebelum ini mewah semasa masih bekerja tetapi sekarang masih sukar mengikis gaya hidup yang mewah. Adakah zakat boleh diberikan kepada ketua keluarga ini?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, agihan zakat mestilah diberikan kepada 8 asnaf sahaja sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud; “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (at-Taubah : 60) Sekiranya lelaki itu termasuk dalam golongan fakir dan miskin maka boleh disarankan untuk pergi ke pusat zakat yang berhampiran untuk memohon bantuan zakat. Pihak zakat akan membuat bancian kelayakan seseorang berdasarkan had kifayahnya sama ada layak menerima atau sebaliknya. Seseorang yang kehilangan pekerjaan bukan secara langsung terus menjadi asnaf, mungkin mereka ada simpanan atau sumber lain (barang mewah atau apa sahaja) yang boleh dijadikan pendapatan untuk menampung keluarga. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.