BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum wbt,  Isteri saya balik kampung ke negara asalnya di luar negara bersama anak perempuan kami berumur 4 tahun untuk menghadiri majlis perkahwinannya anak saudara nya selama dua minggu. Setibanya disana, dua minggu tiada khabar berita. Seminggu sebelum tarikh berangkat balik, dia mesej, dia kata dia tak mahu lagi balik ke Malaysia. Anak pun biar duduk sama dia. Berulang ulang kali saya pujuk, dia tetap tak mahu balik. 4 bulan kemudian, saya terima mesej. Dia kata dia dah pergi 4 bulan, jadi dia kata kami dah bercerai sebab saya tak beri nafkah. Dia kata, Ustaz sana kata 4 bulan tak bagi nafkah dah boleh cerai. Penceraian ini berlaku tanpa pengetahuan saya, juga tanpa jemputan dan pemberitahuan dari pihak dia untuk saya memberi keterangan. Sekarang ni dia dah berkahwin dengan lelaki lain. Itu pun saya dapat tahu melalui jiran sekampung nya, satelah 2 bulan dia berkahwin. Soalan saya: sah kah penceraian sebegitu dan sah kah perkahwinan itu?.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, sekiranya perceraian yang dipohon oleh pihak isteri dilaksanakan melalui peraturan dan undang-undang yang betul, maka talak itu boleh menyebabkan perceraian itu sah. Namun, jika tuan tidak berpuas hati, maka bolehlah membuat aduan kepada pihak yang menguruskan perceraian tersebut di negara asal isteri, kerana sepatutnya pihak suami mestilah dipanggil untuk sesi perbincangan. Jika isteri memberikan alasan dan menuduh suami tidak memberi nafkah atau tuduhan lain dan diperakui oleh mahkamah di negara asal isteri, serta disabitkan jatuh talak, boleh jadi mahkamah meluluskan permohonan isteri tanpa melalui pihak ketiga iaitu suami. Oleh itu, pihak kami berpandangan, tuan perlu mengemukakan perkara ini kepada pihak berkuasa agama di negara asal isteri untuk mendapatkan penjelasan lengkap bagaimana permohonan isteri itu diluluskan. Adapun, perkahwinan kedua isteri tuan itu sama ada sah atau tidak menurut hukum syarak, akan ditentukan berdasarkan kepada pengesahan perceraian isteri terlebih dahulu. Jika didapati perceraian yang dipohon oleh isteri itu sah, maka perkahwinan isteri dengan lelaki lain juga sah, namun jika sebaliknya, maka tidak sah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 138

message user image