Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, Apakah hukumnya seseorang yang menipu resume untuk mendapatkan jawatan dalam sesuatu pekerjaan. Sekiranya dengan menipu resume tersebut dan dia dapat pekerjaan itu, apakah hukumnya terhadap rezeki yang diterima untk isteri, anak anak dan keluarga.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, perbuatan menipu resume adalah berdosa kerana tidak jujur dalam hal ini. Daripada Abu Bakar As-Shiddiq RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Maksudnya: "Tidak masuk ke dalam syurga orang yang menipu, orang bakhil dan orang yang suka mengungkit-ngungkit sedekahnya." (Riwayat al-Tirmizi) Bagaimanapun gaji yang diterima tidaklah menjadi haram kepada saudara untuk digunakan, kerana gaji tersebut adalah daripada sumber yang halal hasil daripada kerja yang dilaksanakan.. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.