Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalam tuan, saya ingin bertanyakan soalan bagi pihak kawan saya, suami beliau ada mengeluarkan lafaz; 1. " sekiranya rumah ini terlelong , maka bercerailah kita" (semasa bergaduh akibat suami alpa pembayaran rmh dan hampir terlelong, stkt ini belum terlelong dan apa akan jadi sekiranya sebelum terlelong suami menarik balik kata2nya?) 2. "Bila saya dah settle semua hutang awak , maka bercerailah kita" kata suami kpda isteri yg mana suami slalu meminjam wang daripada wang simpanan isteri dan kdg tidak membayar mengikut perjanjian dan bila isteri meminta , demikian yg diajukan Mohon ustaz bagi pencerahan terhadap 2 perkara diatas..
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan; 1. Lafaz “Sekiranya rumah ini terlelong, maka bercerailah kita”, adalah lafaz cerai taklik. Ia tidak boleh ditarik balik. Maka, bila rumah yang dimaksudkan itu terlelong, jatuhlah talak secara taklik ke atas isterinya. 2. Manakala lafaz “Bila saya dah settle semua hutang awak, maka bercerailah kita”, juga merupakan lafaz cerai taklik. Bermakna, apabila suami selesai membayar hutang kepada isterinya, maka tercerailah pasangan tersebut dengan cerai secara taklik. Bila berlaku pelanggaran terhadap taklik yang telah dilafazkan oleh suami, maka mereka hendaklah segera melaporkan perceraian tersebut ke pihak Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggal, kerana pengesahan terhadap lafaz cerai hanya boleh disahkan melalui Mahkamah Syariah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.