BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : JENAYAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, saya ingin bertanya tentang wang yang datang dari hasil curi tetapi bukan saya yang mencuri cuma saya mendapat bahagian dari hasil curi tersebut, jadi wang dari hasil curi itu saya guna dengan membeli talipon dan membeli barang keperluan, adakah setiap kerja yang halal melalui talipon itu menjadi haram ? Dan adakah saya perlu mengantikan nya semula tetapi saya tidak tahu untuk membayarnya kepada siapa.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, menggunakan wang yang telah diketahui hasil daripada curi adalah haram, kerana ia bukan miliknya, dan ia diperolehi dengan jalan yang salah. Perlu dikembalikan kepada tuannya jika diketahui. Seterusnya hendaklah bertaubat dan tidak bersubahat atau menerima apa-apa hasil daripada mencuri. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal”. (Ali’Imran ayat 135 – 136) Jika pemiliknya tidak diketahui, hendaklah diserahkan kepada baitulmal kerana ia merupakan harta/wang yang tidak patuh syariah. Berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa; Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut: 1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya; 2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau 3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 220

message user image