BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Apakah dalil yang menunjukkan bahawa boleh memakai tangkal (hiriz) yang mengandungi ayat al quran dan seumpamanya dan tidak mengandungi kata kata,rajah atau angka angka yang tidak difahami atau tidak jelas maknanya dan adakah boleh menggantungkannya di leher untuk tujuan pendinding dengan memakai hiriz ini?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudara, sebaik-baik perlindungan dan pendinding hendaklah berdoa dan memohon terus kepada Allah SWT. Disamping sentiasa beramal soleh, melakukan apa yang Allah SWT perintahkan dan meninggalkan larangannya. Sesungguhnya apa jenis makhluk sama ada golongan jin, syaitan, manusia serta alam, tidak boleh memberi kemudharatan kepada diri manusia tanpa izin daripada Allah SWT. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu al-‘Abbas Abdullah bin Abbad r.a., beliau berkata yang bermaksud: “Pada suatu hari aku berada di belakang Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda: “Wahai budak! Sesungguhnya aku ingin mengajarkan kepadamu beberapa kalimah: Peliharalah Allah, nescaya Dia akan memeliharamu. Peliharalah Allah, kamu akan mendapatiNya bersamamu. Apabila kamu meminta sesuatu, maka mintalah daripada Allah. Apabila kamu meminta pertolongan maka mintalah pertolongan daripada Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya jika seluruh manusia berhimpun untuk memberi sesuatu manfaat kepadamu, mereka sekali-kali tidak akan dapat meberikan manfaat itu kepadamu, kecuali sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah untukmu. Dan sekiranya mereka berhimpun untuk mendatangkan sesuatu bencana ke atasmu, mereka tidak akan dapat mendatangkannya kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah ke atasmu. Telah diangkat qalam dan telah keringlah lembaran.” (Riwayat al-Tirmizi) Berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-40 yang bersidang pada 9 Ogos 1996 telah membincangkan Khurafat Dan Azimat Menurut Perspektif Islam, dan muzakarah bersetuju memutuskan garis panduan yang telah disediakan untuk dijadikan panduan kepada orang ramai antaranya: i. Islam sangat menitik beratkan soal akidah dan syariat. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber yang asal seperti al-Quran, hadith, ijmak dan qias adalah ditolak oleh Islam. ii. Amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung (pendinding) diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu pelemah hati, ilmu panjauh jin dan sebagainya yang dicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng dari ajaran Islam. Sehubungan itu, saudara juga boleh muat turun Garis Panduan tersebut di link berikut untuk rujukan selanjutnya: http://www.islam.gov.my/images/garis-panduan/garis_panduan_khurafat_dan_azimat.pdf والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 301

message user image