Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Bagaimana jika seseorang itu akil baligh pada usia 11 tahun dan pada masa tersebut dia belum belajar mandi wajib dan tidak tahu bahawa tidak boleh solat dalam keadaan berhadas besar. Lalu pada usia 13 tahun, barulah dia belajar mengenai mandi wajib dan mengetahui jika tidak mandi wajib maka solat tidak sah. Adakah solat dalam waktu dua tahun itu perlu diqadha semula?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, wajib qada’ solat kerana solat dalam keadaan berhadas (tidak bersuci) adalah tidak sah. Firman Allah SWT yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci.” (an-Nisa’ : 43) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.