Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, Kemusykilan Tanah Wakaf. Saya , cucu kepada atuk saya beliau mewakafkan tanahnya untuk surau sudah lebih anggaran 50 tahun surau tersebut Di tanah Wakaf itu.Dalam masa Yang Sama Dalam alamat Yang Sama Kami sekeluarga menduduki Di tanah atuk saya itu.Surau tersebut anggaran saiz tanah Yang Di wakafkan anggaran 1 lot tanah .Jadi tanah selebihnya Yang didalam alamat berkenaan adalah tanah pusaka warisan. Persoalanya, pihak orang surau sudah terlalu gila kuasa seolah- olah Kami menumpang Di tanah warisan milik atuk Kami.sedangkan Wakaf surau hanya Di 1 petak lot berkanaan sahaja.kami sekeluarga hampir bergaduh gara- gara ini.mereka ( orang surau) gila kuasa seperti hendak meletakkan pagar Dan berbagai halangan seolah- olah menghalalu kami.Disini,saya lihat pemahaman saya.pewaris la Kan Yang berhak untuk pemilikan tanah Dan berhak bersuara betul Kan ? Mohon penjelasannya.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, wakaf merupakan satu amalan sunat yang sangat dituntut oleh Islam kerana ia merupakan sedekah yang bersifat jariah (berpanjangan dan berkekalan) yang dilakukan semasa hidup, namun manfaat dan pahala yang berpanjangan mengalir walaupun pewakaf telah meninggal dunia. Sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah Mengetahuinya”. (ali’Imran : 92) Secara jelasnya, tanah yang telah diwakaf oleh atuk untuk surau adalah milik orang Islam dan waris tidak mempunyai hak menuntutnya. Disamping urusan wakaf ini hendaklah direkodkan sebagai bukti dan kesaksian yang adil agar tidak timbul masalah dikemudian hari dan perkara ini dapat diselesaikan dengan baik. Undang-undang berkaitan wakaf adalah berdasarkan kepada hukum syarak dan Enakmen Wakaf Negeri Selangor 2015. Justeru ahli waris dan pihak surau hendaklah merujuk perkara ini terus ke institusi wakaf negeri yang diberi kuasa mengurus tadbir berkaitan wakaf untuk mengenalpasti status tanah dan keluasannya. Bagi Negeri Selangor boleh merujuk ke Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) MAIS, Tingkat 10 Menara Selatan, Bangunan Sultan Idris Shah, 40000 Shah Alam Selangor Darul Ehsan, atau hubungi talian telefon : 03-5518 8001. Bagi tujuan tersebut, pihak-pihak hendaklah mengemukakan bukti-bukti bagi menyokong permohonan dan dakwaannya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.