Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz, saya telah melakukan umrah pada bulan 3/19. Setelah lebih 10 bulan berada di tanahair tiba2 terdetik di hati berkenaan rukun bertahalul dan saya terlupa samada saya ada melakukannya ketika umrah terakhir (saya bersendirian ketika saei). Apakah hukumnya? Adakah saya dikira masih terikat dengan ihram pada masa kini dan telah melanggar syarat2 ihram sepanjang waktu tersebut sedangkan saya benar2 lupa. Apakah yg perlu saya lakukan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, perasaan ragu-ragu tidak membatalkan yang yakin. Dalam kaedah feqah menyebut : اليقين لا يزول بالشك Maksudnya : “Keyakinan itu tidak dapat dihapuskan dengan perasaan syak (tidak pasti)”. Rasa ragu yang timbul 10 bulan selepas umrah tidak membatalkan keyakinan puan. Selepas puan selesai menunaikan umrah dan kembali ke tanah air, maka puan telah menyempurnakan umrahnya khususnya bergunting (bertahallul). Justeru, tidaklah timbul soal melanggar larangan dalam ihram kerana umrah puan sebenarnya telah sempurna. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.