BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: 1 apakah hukum kita berasa ragu dengan agama islam, adakah jatuh kafir walaupun kita belum berniat untuk keluar dari agama islam? 2. Apakah hukum berasa ragu dengan janji tuhan tetapi masih percaya bahawa islam agama yang benar? 3. Saya sentiasa ragu samada doa saya dijamin akan dimakbulkan (betulkah Allah akan memakbulkan doa saya?) Allah ataupun tidak. Adakah saya dikira ragu dengan ayat alquran dan telah jatuh kafir.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudara, ragu terhadap agama Islam boleh membatalkan keimanan. Ini kerana pegangan Islam memerlukan keyakinan yang mantap dan kukuh (jazam) sepenuhnya. Bagaimanapun, ia tidaklah jatuh kafir, kecuali telah menolak sepenuhnya. Lebih-lebih lagi pengesahan tentang keislaman seseorang hanya boleh ditentukan oleh Mahkamah Tinggi Syariah. Begitu juga dengan keraguan terhadap perkara-perkara ghaib seperti janji Allah SWT tentang hari kiamat, balasan dosa dan pahala. Termasuklah ragu-ragu tentang doa sama ada diterima (makbul) atau tidak. Walau bagaimanapun, saudara perlu berusaha mengelakkan perasaan ragu-ragu tersebut dalam kehidupan, kerana ditakuti keraguan saudara akan bertambah serius hingga menimbulkan keyakinan untuk menolak Islam dan menafikan kekuasaan Allah SWT. Justeru, lakukanlah amal soleh yang dapat memperteguhkan iman dan keyakinan kepada Allah, Rasul dan Rukun-rukun iman yang lain. Kembalilah kepada ajaran Islam, sebagaimana firman Allah SWT; إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ Maksudnya : “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.” (Ali’Imran : 19) Dan jadikanlah al-Quran sebagai panduan, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud; “Al-Quran ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.” (Ali'Imraan : 138) Hadirilah majlis-majlis ilmu supaya dapat meningkatkan kefahaman dan mendorong untuk mengamalkan Islam dari segi akidah, syariah dan akhlak secara istiqamah (konsisten). والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 284

message user image