BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Soalan: Asslmkm. Tuan, Saya Ada pertanyaan berkenaan saudara Saya. Dia bekerja sebagai kakitangan kerajaan Dan membuat pinjaman atau loan peribadi sebanyak 200k dgn potongan gaji setiap bulan selama 10tahun. Dia guna duit loan utk bayar deposit rumah, sedekah, bayar hutang, buat korban, beri kpd ibu bapa, beli barangan perabot Dan peralatan elektrik, kereta Dan motorsikal Dan utk duit makan. Tetapi baru setahun pinjaman, Dia bermain nombor ramalan @ekor Dan beliau mendapat untung Dan judinya mengena Dan dia melunaskan semua hutang dgn pihak bank. Dia tahu dosa besar perbuatan itu walaupun hutangnya langsai. Cuma... Dia dlm ketakutan krn wang rm2k yg dipotong dahulu melalui gajinya tidak lagi dipotong krn hutang dah selesai dibayar. Dia musykil adakah wang rm2k itu halal dia makan utk anak isteri dan keluarganya krn duit itu dia dapat semula krn dia bayar penuh hutang dgn bank walau pakai duit haram. Adakah semua perkara yg dia lakukan dulu pakai duit loan dulu dianggap haram, tidak sah Dan batal dan segala barangan yg dibeli pun kini dianggap haram Dan harus dibuang. Macam Mana nak buang peralatan Dan perabot Serta rumah yg dibeli. Tak masuk akal. Ibadah korban dulu Tak sah? Sedangkan dulu duit tu halal walaupun dia pinjam tapi dia mampu bayar. Cuma bila dia berjudi nasib dia baik kena Dan dia langsaikan hutang tersebut. Dia fikir duit gaji yg dapat semula itu halal krn duit itu asalnya drpd gajinya yg halal sebagai kakitangan kerajaan. Tapi.... Dia juga takutttt beri keluarga makan duit haram. Dia dlm dilemma. Dia Tanya Saya, Saya fikir halal duit itu krn duit itu atas upah gaji dia kerja halal tapi bayar hutang guna duit haram tetap salah Dan berdoa dan dia kena tanggung lah dosa tersebut sebab berjudi. Tapiiiiiiiiii mohonlahlah pihak Tuan beri pencerahan krn dia dah pun berjudi Dan dah pun langsaikan hutangnya Dan duit gaji pun dah tak dipotong lagi. Dia dalam dilemma Dan selalu susah hati. Sekian terima kasih. Asslmkm.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, Alhamdulillah saudara tuan telah menyedari kesalahan dan dosa yang telah dilakukan. Justeru, saudara tuan hendaklah bertaubat nasuha dan berazam tidak akan mengulanginya lagi. Pengharaman judi telah jelas dinyatakan dalam al-Quran iaitu Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (al-Maidah : 90) Persoalan tentang membayar hutang dengan hasil berjudi, hukumnya adalah haram dan tidak dibenarkan sama sekali. Duit haram adalah tidak boleh digunakan disebabkan hukum asalnya ialah haram lizatihi (haram zatnya tersendiri). Ini kerana punca yang haram tidak mungkin diberi kepada yang lain untuk dihalalkan atau juga akan diberi pahala dengan sebab tersebut. Ini bermaksud baki hutang yang dilangsaikan menggunakan wang judi adalah tidak tertunai dan tidak terlangsai. Segala pembelian, belanja, kurban dan sebagainya yang menggunakan wang pembiayaan (sekiranya patuh syarak) adalah harus dan tiada masalah kerana ia adalah hasil daripada pembiayaan yang telah dibuat. Oleh itu, saudara tuan perlu membayar kembali nilaian yang sama dengan pinjaman yang telah dibayar menggunakan wang hasil berjudi kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri. Di Selangor, Baitulmal adalah tempat yang tepat bagi menyelesaikan isu ini. Ini adalah antara syarat yang menunjukkan saudara tuan sebenar-benarnya telah bertaubat. Kesimpulannya, saudara tuan sepatutnya memikirkan baik buruk amalan berjudi ini khususnya hasilnya dibelanjakan untuk keluarga yang pasti akan memberi kesan buruk kepada mereka kerana semuanya akan dihitung di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sentiasalah dua kaki hamba pada hari kiamat berada di situ sehingga ditanya tentang umurnya, bagaimana digunakannya, ilmu apa yang dilakukannya, harta dari mana diperolehinya dan ke mana diinfakkannya dan tubuhnya dengan apa dilakukannya.” (Riwayat al-Tirmizi) Terakhirnya ada sebuah hadith sahih daripada Abi Zar dan Muaz bin Jabal RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Takwalah kepada Allah dimana kamu berada dan ikutilah kejahatan dengan kebaikan nescaya dia menghapuskannya dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.” (Riwayat al-Tirmizi) Antara pengajaran hadith ini, apabila seseorang telah melakukan kesilapan, dan melakukan perkara yang diharamkan Allah SWT, maka hendaklah dia melakukan kebaikan selepas itu. Sebahagian ulama’ menganggap kebaikan dengan maksud taubat kepada Allah SWT, sebagaimana firmanNya yang bermaksud; “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”. (Ali'Imran :135) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 288

message user image