Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: 10 tahun yang lalu waktu saya first time boleh berpuasa, saya tidak tahu yang tidak boleh berniat puasa sewaktu siang. Jadi selama dua tahun saya niat puasa sewaktu siang. Jadi, adakah puasa tersebut perlu saya ganti dan bayar fidyah? Mohon jawab, saya mengalami kekeliruan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, saudari tidak menjelaskan umur ketika 10 tahun yang lalu. Jika ketika itu belum mukallaf atau belum wajib berpuasa, maka tiada tanggungan untuk menggantinya. Tetapi jika telah baligh, saudari wajib ganti puasa tersebut, kerana syarat sah puasa adalah berniat pada malam hari (bermula tenggelamnya matahari hingga terbit fajar), kecuali bagi puasa sunat yang diharuskan berniat pada siang hari sebelum gelincir matahari. Saudari boleh menggantinya secara beransur-ansur mengikut kemampuan sehingga selesai. Contoh puasa yang wajib diganti adalah 60 hari (setahun 30 hari x 2 tahun). Setiap sehari puasa yang tinggal wajib qada’ sehari dan satu fidyah. Terdapat dua kaedah bagi bayaran fidyah sama ada digandakan atau tidak digandakan. Ini berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor Bil. 1/2001 yang bersidang pada 16 Januari 2001 telah sebulat suara membuat keputusan bahawa: Harus menggunakan 2 kaedah: i. Gandakan fidyah dan kifarah mengikut tahun. ii. Tidak digandakan kadar pembayaran fidyah dan kifarah. http://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-personalisation/fatwa-tahunan/keputusan-fatwa-xwarta/2001-2005/812-hukum-gandaan-fidyah-dan-kifarah Justeru, saudari bolehlah berurusan di mana-mana kaunter zakat yang berhampiran untuk pembayaran fidyah tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.