Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan Mufti samuga sejahtera selalu. Saya saorang lelaki berusia 76 tahun. Dalam salah satu kuliah magrib dimesjid kami saorang ustaz muda telah menegaskan bahwa "hutang" solat fardhu mesti dilunaskan dahulu jika tidak solat sunat tidak diterima dan dianggap "haram". Saya saorang bekas pegawai tentera dan selama lebihkurang 40 tahun saya gagal menunaikan solat fardu. Sejak lebihkurang 20 tahun lalu saya telah bertaubat dengan kesalan yang amat sangat dan tidak lagi meninggalkan solat fardhu. Lebihkurang 5 tahun lalu saya telah melakukan solat sunat taubat, tahajud dan witir setiap malam tanpa tinggal. Malahan saya tak ingat meninggalkan qiamullail ini sekali pun. Untuk mengerjakan "hutang" solat fardhu selama40 tahun saya merasa "putus harapan" akan dapat melunaskan hutang sebanyak ini. Dibenak hati saya, saya berserah saja pada Allah. DIA maha pengasih, maha penyayang dan maha pengampun dan terus solat sunat seperti biasa trmasuk kabliah, bakdiah, qiamulail dsb. Sekarang saya keliru dan sebab takut tak diterima solat2 sunat saya, saya mula megkadha kan solat fardhu yang tertinggal lama sebanyak 40 thn x 365 hari x 5 solat fardhu = 73,000 waktu solat fardhu. Saya takut tak tercover hutang hutang solat fadhu saya sebelum saya dijemut Malaikalmaut.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, perkara utama yang wajib di lakukan oleh seseorang yang meninggalkan solat fardhu adalah segera bertaubat dan segera menggantikan solat fardhu yang ditinggalkan. Jumhur Ulama’ berpendapat bahawa wajib bagi seseorang yang meninggalkan solat fardhu untuk menggantikan (qada’) solat tersebut pada bila-bila masa. Hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibnu Mas’ud, dari ayahnya berkata, Rasulullah SAW bersabda التَّائِبُ مِنْ الذَّنْبِ كَمَنْ لَا ذَنْبَ لَهُ Maksudnya : Orang yang bertaubat daripada dosanya adalah seperti orang yang tiada dosa (Riwayat Ibnu Majah) Sebahagian Ulama’ menyatakan bahawa tidak boleh (haram) bagi seseorang yang belum mengqada’ solat fardhu yang ditinggalkan tanpa sebarang keuzuran, untuk menggunakan masanya selain dari menggantikan solat tersebut. Walau bagaimanapun, dia diharuskan untuk melakukan perkara yang menjadi kemestian dan kewajipan lain bagi seorang manusia seperti makan, tidur, bekerja dan sebagainya. Ini kerana solat fardhu yang ditinggalkan itu wajib diqada’ dan berdosa jika diabaikan manakala solat sunat tidak berdosa apabila ditinggalkan. Jika seseorang mendirikan solat sunat sebelum menggantikan solat fardhu yang ditinggalkan, dia tetap berhak mendapat ganjaran pahala solat sunat yang dilaksanakan, dan pada masa yang sama menanggung dosa melewat-lewatkan kewajipan menggantikan solat yang ditinggalkan. Solat sunat hanya dapat menampung kekurangan solat fardhu yang dilaksanakan dan tidak dapat menggantikan solat fardhu yang tidak dilaksanakan. Tiada isitilah rugi bagi orang yang menggantikan (qada’) solat fardhu yang telah ditinggalkan dengan meninggalkan solat sunat, kerana pahala solat fardhu jauh lebih besar berbanding solat sunat dan keutamaan perkara yang wajib perlu didahulukan berbanding perkara sunat apabila bertembung di antara keduanya. Laksanakanlah solat qada’ secara tersusun dan terancang tanpa membebankan diri. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui usaha hambaNya dalam memenuhi kewajipan dan Maha Menerima taubat hambaNya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.