Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Pertanyaan: Assalammualaikum. Saya ada sebuah kedai sewa yg sekarang di sewa oleh tukang jahit. Masaalah saya skrg ialah, Semasa arwah emak saya masih hidup dia telah berpesan secara lisan bahawa sewa kedai jahit tersebut harus di bahagi 2 dgn kakak saya. Sekarang ada penyewa baru hendak menyewa kedai tersebut. Perlukah saya bagi juga bahagian kakak saya. Kerana dia bukan penyewa lama lg. Penyewa baru dgn kadar sewa baru. Cuma bangunan sahaja yg lama.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, status pemilik kedai sewa tersebut perlulah dijelaskan. Jika tuan sebagai pemiliknya, maka duit hasil sewa itu adalah milik tuan. Melainkan jika ia berkongsi pemilik, maka harus dikongsi hasil sewa tersebut. Adapun, pesanan ibu semasa hidupnya, hanyalah sebagai pesanan agar berbuat baik iaitu membahagi hasil sewa kedai dengan kakak. Sebagai pemilik kedai, terpulang kepada tuan untuk meneruskan atau tidak pesanan arwah ibu. Tidak kira sama ada penyewanya orang lama atau baru. Namun, Islam menganjurkan agar membantu dan berbuat baik terutamanya terhadap ahli keluarga dan kaum kerabat sebelum membantu orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud; “Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (an-Nuur : 22) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.