BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum tuan/puan, Saya mohon penjelasan dari pihak tuan/puan yang arif tentang ilmu agama, untuk menjawab sedikit soalan saya. Seperti kita sedia maklum, kisah Nabi Ibrahim a.s menyuruh anaknya iaitu Nabi Ismail a.s supaya menceraikan isteri, kerana tidak mensyukuri pemberian suami dan beberapa perkara lain yg tidak disetujui oleh Nabi Ibrahim a.s atas perilaku menantu Baginda itu. Atas perkara itu, saya telah ditanya oleh sahabat saya yg belum Islam (tetapi sedang mendalami Islam). Sahabat saya bertanya, adakah Islam sememangnya agama yang kejam kerana suami boleh menceraikan Isteri hanya dengan "perintah" ibu bapa, seperti kisah Nabi Ibrahim a.s tersebut ? Sahabat saya juga keliru kerana sebelum ini, saya banyak menerangkan tentang Islam adalah agama mendidik dan bukan semata-mata meletakkan hukuman untuk mendidik hambaNya. Untuk pengetahuan tuan/puan, di dalam social media juga banyak para suami meletakkan "hukum" untuk berhak menceraikan isteri dengan mengikut kehendak arahan ibu atau ayah suami, jika tidak menyukai isteri. Mereka menyatakan kisah Nabi Ibrahim a.s tu sudah cukup untuk "syarat" menceraikan isteri jika dikehendaki oleh ibu atau ayah suami, walaupun isteri tidak mempunyai sebarang khilaf atau kekurangan. Saya mohon bantuan dari pihak tuan/puan, apakah perkara yang perlu saya terangkan kepada sahabat saya itu, berkaitan kisah Nabi Ibrahim a.s itu, untuk menarik minat beliau kepada Islam, dan untuk menunjukkan Islam adalah agama yg paling sempurna dan Indah.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, kisah tersebut adalah suatu kisah yang masyhur dan banyak pengajaran yang kita boleh diambil daripadanya. Ia bukan hanya kisah Nabi Ismail AS menceraikan isterinya, tetapi terkandung dalam kisah tersebut pengajaran yang boleh diambil sebagai seorang suami, isteri, bapa dan anak. Jelas dalam kisah itu, isteri pertama Nabi Ismail AS adalah seorang yang tidak baik akhlaknya, tidak redha dan bersyukur atas rezeki yang dikurniakan Allah SWT. Sudah pasti, perintah Nabi Ibrahim AS untuk menceraikan isterinya itu bukan semata-mata sebab hawa nafsunya, tetapi atas petunjuk daripada Allah SWT. Melalui kisah ini, adalah harus menuruti keinginan orang tua untuk menceraikan isteri jika memang ada sebab yang dibenarkan oleh syarak. Terdapat hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA katanya yang bermaksud; “Aku mempunyai seorang isteri serta mencintainya dan Umar tidak suka kepada isteriku. Kata Umar kepadaku; “Ceraikanlah isterimu”. Lalu aku tidak mahu, maka Umar datang kepada Nabi SAW dan menceritakannya, kemudian Nabi SAW berkata kepadaku; “Ceraikanlah isterimu” ”. (Riwayat Abu Daud) Dalam hadith lain yang diriwayatkan daripada Abu Darda’ RA, bahawa ada seseorang datang kepadanya dan berkata, maksudnya ; “Sesungguhnya aku mempunyai seorang isteri dan ibuku menyuruh untuk menceraikannya. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda ; “Orang tua itu adalah sebaik-baik pintu syurga, seandainya kamu mahu, maka jagalah pintu itu jangan engkau sia-siakan”. (Riwayat al-Tirmizi) Tetapi bukan semua keinginan orang tua dalam hal perceraian diharuskan. Dalam kitab Masail min Fiqh al-Kitab wa as-Sunnah, berkenaan hadith ini ada orang bertanya kepada Imam Ahmad; “Apakah boleh menceraikan isteri kerana orang tua menyuruhnya?”. Imam Ahmad menjawab; “ Jangan kamu menceraikan“. Orang tersebut bertanya lagi, “Bukankah Umar pernah menyuruh anaknya menceraikan isterinya?”. Kata Imam Ahmad, “Kamu boleh taati orang tuamu jika mereka sama seperti Umar, kerana Umar membuat sesuatu keputusan bukan mengikut hawa nafsu”. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 128

message user image