Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apabila terjaga dari tidur pada waktu malam, kita dianjurkan untuk membuat solat tahajud. 1.Jika kita mempunyai solat yang perlu diqadakan, apakah prioritas solat yang kita perlu laksanakan pada waktu tahajud. 2. Jika kita melakukan solat qada pada waktu tahajud, adakah kita mendapat pahala seperti orang yang mengerjakan solat tahajud
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, 1. Keutamaannya adalah mengqada’kan solat fardu yang telah ditinggalkannya. Namun, ia tidak menghalang daripada melakukan solat sunat yang lain. 2. Jika qada’ solat pada waktu tahajjud, hanya dapat pahala qada’ sahaja kerana ia adalah hutang kepada Allah yang wajib dilunaskan. Antara solat fardhu dan solat sunat, sudah tentu keutamaannya adalah yang wajib. Jika solat yang wajib itu terlepas untuk dilaksanakan pada waktu yang ditetapkan, maka wajib diqada’ pada waktu lain. Menurut Dr. Wahbah al-Zuhailiy dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa adillatuh : “Harus mengqada solat fardu yang tertinggal pada bila-bila masa, sama ada waktu itu ditegah daripada melakukan ibadat ataupun pada waktu biasa, maksudnya qada’ solat boleh dilakukan bila-bila sahaja.” والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.