Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz. Saya yakin bahawa kalau nak rezeki bertambah kita perlu bersedekah atau menginfakkan sebahagian Dari rezeki yang Allah bagi. Bagaimana saya nak menginfak sebahagian Dari pendapatan saya. Sedangkan saya mempunyai hutang yang belum dilunaskan? Dan Mana Satu yang perlu saya dahulukan hutang atau infak?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, membayar hutang dan sedekah adalah dua perkara yang berbeza. Membayar hutang hukumnya wajib, manakala sedekah hukumnya adalah sunat. Hutang wajib dilunaskan, bahkan membawa gambaran kesempurnaan amalan. Ibadah tidak akan lengkap jika masih terdapat hutang yang tidak dilunaskan, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada ‘Abdillah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW bersabda: يُغْفَرُ للشهيد كل ذنب إلا الدَّين Maksudnya : “Semua dosa orang yang mati syahid akan diampuni kecuali hutang” (Riwayat Muslim) Oleh itu, perkara yang paling utama adalah membayar hutang berbanding bersedekah. Namun, jika boleh membayar hutang yang banyak itu secara konsisten setiap bulan, maka disunatkan bersedekah jika ada lebihan wang walaupun dalam amaun yang sedikit. Sedekah boleh dilakukan dengan berbagai cara. Jika tiada lebihan wang, boleh bersedekah dengan menghulurkan bantuan seperti bergotong-royong, membantu warga tua dan orang sakit, mengajar orang membaca al-Quran dan sebagainya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.