Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya mengalami darah haid kotor yang trlah berlatitan melebihi 15 hari. Doktor maklumkan bahawa ianya tanda Menopause. Bagaimana untuk saya membuat ibadah seperti sembahyang dan puasa. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, sesungguhnya darah yang keluar melebihi tempoh 15 hari adalah darah istihadah dan itu sebahagian tanda menopause seperti yang dimaklumkan oleh doktor. Oleh itu, puan boleh solat dan puasa seperti biasa, kerana itu merupakan darah istihadah (penyakit), sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah RA menerangkan bahawa Fatimah binti Abi Hubaisy RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: إنى امرأة استحاض فلا أطهر افأدع الصلاة؟ فقال : لا، إنما ذلك عرق وليس بالحيضة فإذا أقبلت الحيضة فدعي الصلاة وإذا أدبرت فاغسلي عنك الدم وصلي Maksudnya : “Sesungguhnya aku didatangi istihadah, maka aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Rasulullah SAW menjawab: “Tidak, sesungguhnya itu ialah ‘irq (penyakit). Tinggalkan solat pada kadar haid yang kebiasaan bagi kamu, kemudian hendaklah kamu mandi dan dirikan solat”. (Riwayat Muslim) Bagi wanita yang mengalami istihadah, tidak perlu mandi wajib, cukup dicuci sebelum berwuduk bagi menunaikan solat fardhu. Wanita yang beristihadah boleh solat dan puasa seperti biasa. Bagi setiap satu wuduk untuk satu solat fardhu, dan seberapa solat sunat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.