Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum mufti selangor, Saya ingin mendapatkan kepastian dari ayat ini; ( Hadiah Fatihah kepada diri kita sendiri dan kepada qorin. WA 'ALA NAFSI.........(SEBUTKAN NAMA SENDIRI) WAL QORINI, WA SEDULUR PAPAT LIMA PANCER SYAI-U LILLAHI LAHUMUL........ (AL- FATIHAH 1X) ) Teman saya mengatakan beliau belajar syifa dari seorang ustad yg berasal dari acheh indonesia. Tapi saya agak ragu2 apabila ada ayat ”sedulur papat lima pancer”. Adakah boleh diamalkan kerana ada di selit bahasa jawa yang saya tidak faham maksud nya. Mohon agar mufti selangor dapat menjawab persoalan saya agar saya tidak tersalah mengamalkan sesuatu berkaitan agama..
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, amalan tersebut tidak jelas sumbernya. Manakala sebutan bahasa Jawa tersebut yang tidak diketahui maknanya, selain ditakuti mempunyai pengertian dan kepercayaan tertentu adalah sesuatu yang meragukan. Oleh itu perlu ditinggalkan, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Hassan bin Ali RA cucu Rasulullah SAW, beliau berkata: دَعْ مَا يُرِيْبُكَ إِلىَ مَا لاَ يُرِيْبُكَ Maksudnya : “Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu” (Riwayat al-Tirmizi) Mulakan dengan sedekahkah kepada Rasulullah SAW, para sahabat, ummahatul mu’minin, ibu, ayah dan sekalian muslimin dan muslimat. Membaca al-Fatihah juga dikira sebagai ibadah yang akan beroleh pahala, disamping sebagai doa sepertimana yang terkandung dalam pengertiannya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.