Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Pertanyaan: Cabut bulu kening hukumnya haram tapi bagaimana pula kalau bulu kening itu beruban, boleh ia kah dicabut? Dengan alasan uban itu tumbuh menyebabkan gatal2 di kening sampai begkak2..
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, cabut bulu kening hukumnya adalah haram jika diniatkan untuk mengubah ciptaan Allah SWT. Tetapi jika tujuan mencabut itu adalah untuk melegakan kesakitan atau menghilangkan kemudharatan, ianya termasuk dalam perkara yang diharuskan. Berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA, bahawa Nabi SAW bersabda ; لا ضرر ولا ضرار Maksudnya : “Tidak boleh memudharatkan diri dan tidak boleh memudharatkan orang lain” (Riwayat Ibnu Majah) Sebaiknya, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu bagi memastikan keberkesanan perbuatan tersebut atau mungkin ada rawatan lain yang boleh dilakukan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.