Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, saya berumur 19 tahun dan saya mempunyai persoalan, apakah yang terjadi kepada akad nikah seorang anak tidak sah taraf yang dibintikan kepada ayahnya namun diwalikan oleh wali hakim? Adakah ijab qabul tersebut sah? Adakah pengantin lelaki tersebut perlu menyebut nama pengantin perempuan berbintikan Abdullah ataupun menyebut nama yang tertera pada kad pengenalan/surat beranak pengantin perempuan? Adakah pengantin perempuan tersebut perlu melapor kepada Jabatan Pendaftaran Negara dan menukar nama ayahnya kepada Abdullah? Bagaimana sekiranya keluarga pengantin perempuan tidak bersetuju untuk menukar nama pengantin perempuan tersebut kepada Abdullah?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan saudari, 1. Semasa akad nikah bagi anak yang tidak sah taraf, Wali Hakim hanya menyebut nama pengantin perempuan sahaja tanpa binti, kerana anak itu tidak boleh dinasabkan kepada ayahnya. 2. Pernikahan tersebut adalah sah dengan syarat menepati semua rukun dan syarat sah nikah. 3. Pengantin lelaki perlu menyebut sebagaimana yang diajarkan oleh Wali Hakim. Biasanya sebelum majlis akad nikah mereka akan diberikan penerangan mengenai perkara ini, selepas khutbah nikah. 4. Lebih afdhal dibuat pertukaran nama kerana berdasarkan kepada hukum syarak bagi anak yang tidak sah taraf mereka tidak boleh dinasabkan (dibin/bintikan) kepada bapanya atau lelaki lain. Sebaiknya, pemberian nama bagi anak yang tidak sah taraf hendaklah dibin/bintikan Abdullah atau lain-lain nama Allah daripada Asma al-Husna. Manakala proses pertukaran nama boleh dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Di Negeri Selangor perkara ini telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor, yang bersidang pada 21 Oktober 2003, telah memutuskan bahawa: Pemakaian Seksyen 13 Akta Pendaftaran Negara 1957 dikecualikan kepada ibu atau bapa kepada kanak-kanak yang beragama Islam. Ini bertujuan: i. Menentukan masyarakat Islam di Negeri Selangor tidak melanggar larangan Allah dengan sewenang-wenangnya tanpa ada sekatan dan Penguatkuasaan Undang-Undang berhubung larangan Allah menasabkan anak tak sah taraf kepada bapa tak sah tarafnya. ii. Memelihara jiwa dan keturunan agar tidak bercampur dengan perkara-perkara yang haram sama ada berhubung dengan zuriat, aurat, perwalian dan sebagainya. iii. Memelihara identiti Islam sebagai suatu agama suci dan mulia di Negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya. (http://www.muftiselangor.gov.my/en/fatwa-personalisation/yearly-fatwa/result/2001-2005/880-pindaan-terhadap-seksyen-13-akta-pendaftaran-negara-1957-berhubung-anak-tak-sah-taraf) 5. Sebagai orang Islam mesti mengikut hukum syarak, sama ada setuju atau tidak, kerana ia melibatkan dosa pahala dan urusan kehidupan di dunia akhirat. Kesan dari segi dokumentasi juga menyebabkan kesulitkan bagi anak tidak sah taraf tersebut di masa akan datang jika tidak dibetulkan dari sekarang. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.