Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Sekiranya sumber air di dalam rumah adalah dari sumber curi (maksudnya tuan rumah buat meter lain untuk tidak dicaj dalam bil), apa hukumnya kalau kita ambil air wudhuk menggunakan air tersebut. (Jika kita bermalam di rumah ini). Dan macam mana pula dengan makanan dan minuman di dalam rumah ni.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, berkenaan perkara ini, hukumnya tertanggung ke atas tuan rumah tersebut. Penyewa yang menggunakannya tidaklah menanggung dosa perbuatan tuan rumah. Oleh itu, wuduknya sah, makan minumnya juga halal. Firman Allah SWT yang bermaksud; “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)” (al-An’am : 164) Jika pasti dan ada kemampuan, berbincanglah dengan tuan rumah, ia juga suatu dakwah agar perkara tersebut dapat dihentikan dan puan bersedia membayar caj bil airnya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.