Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Tuan Mufti yang dihormati. Apakah hukum sitaan yang dilakukan oleh badan-badan penguatkuasa seperti DBKL terhadap peniaga kecil-kecilan di Malaysia yang tercinta ini. Apakah beza antara tindakan mereka itu dengan merompak? Mohon penerangan daripada pihak tuan. Amanah adalah sesuatu yang berat dan antara amanah yang terbesar adalah amanah terhadap ilmu. Nyatakanlah kebenaran walaupun di hadapan penguasa yang zalim. Tuan akan diberatkan di hadapan Allah dengan ilmu dan autoriti yang berada di pihak tuan. Segala jawapan dari pihak tuan saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, sitaan yang dilakukan oleh penguatkuasaan bagi pihak pemerintah (ulilamri) tentunya berdasarkan pelanggaran undang-undang yang dikuatkuasakan. Selain mempunyai sebab-sebab tertentu, ia juga biasanya telah dimulakan dengan tindakan amaran (notis). Oleh itu, tidaklah sama dengan perbuatan merompak. Bukankah kita diwajibkan mematuhi peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh pemerintah selagi mana tidak menyuruh kepada maksiat. Dicadangkan agar buat rayuan dan lain-lain kepada pihak tersebut. Benar, umat Islam diwajibkan menuntut ilmu. Dan ilmu itu menjadi amanah agar ia diamalkan. Tanggungjawab menyatakan kebenaran adalah tanggungjawab setiap umat Islam khususunya yang berilmu. Tanggungjawab itu akan dipersoalkan oleh Allah SWT, sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda : أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ Maksudnya : “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggung jawab atas rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya, dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggung jawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya, dan dia bertanggungjawab atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggung jawab atas kepemimpinannya.” (Riwayat Muslim) Walaupun ia menjadi kewajipan setiap orang yang berilmu, sudah tentu perlu melalui pendekatan tertentu, sama ada secara individu atau organisasi berdasarkan peraturan-peraturan pihak berwajib yang harus dipatuhi. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.