Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Arwah ibu ada memberikan 5K kepada abang. Abang tidak sempat menunaikan amanah Dan ibu meninggal dunia. Apa yang patut dibuat? Duit itu perlu difaraid kepada anak-anak atau diberi sama rata kepada cucu-cucunya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, amanah adalah satu perkara yang sangat dititik beratkan oleh Islam. Penerima sesuatu amanah perlu melaksanakan sebaiknya, kecuali bagi tujuan yang tidak diharuskan oleh syarak. Sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sungguh, Allah menyuruhmu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil. Sungguh, Allah sebaik-baik yang Memberi pengajaran kepadamu. Sungguh, Allah Maha Mendengar, Maha Melihat”. (an-Nisa : 58) Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada iman yang sempurna bagi orang yang tidak memiliki sifat amanah, dan tidak ada agama yang sempurna bagi orang yang tidak menepati janji” (Riwayat Ahmad) Amanah tersebut perlu terus dilaksanakan, walaupun setelah ibu meninggal dunia. Oleh itu, tidak timbul soal faraid kerana ia bukan merupakan harta peninggalan, sebaliknya harta amanah yang tertangguh untuk dilaksanakan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.