Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Pertanyaan: Assalamu’alaikum ustaz, Saya diugut oleh isteri supaya menceraikannya setelah dia mencuri baca telefon bimbit dan komputer peribadi saya yang mengandungi rahsia hubungan saya dengan perempuan lain. Sekiranya saya tidak menceraikannnya dia ugut akan menceritakan perbuatan saya kepada isteri pertama dan semua anak-anak. Dalam keadaan terpaksa saya dengan niat untuk meredakannya dan bertekad untuk tidak menceraikan dia telah menulis di dalam mesej 'kita dah bercerai' dan 'kita dah tak ada apa-apa lagi'. Adakah perkataan itu menyebabkan gugur tala sedangkan saya memang berniat tidak akan menceraikan dia.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, teks mesej “Kita dah bercerai” dan “Kita dah tak ada apa-apa lagi” dikategorikan sebagai talak kinayah, yang memerlukan kepada niat suami. Oleh kerana suami tidak berniat untuk menceraikan isteri, maka tidaklah jatuh talak. Walau bagaimanapun, sebaiknya perkara ini dibuat pengesahan oleh Hakim Syarie di Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggal tuan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.