Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Tuan/Puan Yang Dirahmati Allah. Saya ada persoalan terhadap hukum hakam talak.. 1. Adakah jatuh talak sekiranya menyebut hanya perkataan “talak” dengan berniat mahupun tidak berniat. Situasi Berlaku salah faham dengan isteri, dalam keadaan marah dan seorang diri sehinggakan didalam hati mengatakan ceraikanlah dia. Selepas itu saya menyebut hanya perkataan “talak” tetapi saya tidak pasti saya menyebutnya di dalam hati ataupun secara jelas. Dalam hal ini saya melakukan beberapa kali solat istikarah dan jawapan yang saya dapat insya Allah adalah hati. Namun saya masih takut sekiranya yang berlaku adalah saya menyebutnya dengan jelas. Perkara ini berlaku seorang diri semasa saya mahu mandi dan mengambil wudhuk.Jika ditanya apakah niat semasa menyebutnya, saya tidak pasti namun saya berada dalam keadaan marah. Mohon penjelasan. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, jika hanya menyebut perkataan talak, tidaklah menyebabkan talak jatuh. Lebih-lebih lagi ia tidak ditujukan kepada isteri. Namun, wujud keraguan iaitu tuan sendiri tidak dapat memastikannya dengan yakin. Kaedah fiqh menyebut : اليقين لا يزول بالشك Maksudnya : “Keyakinan itu tidak dapat dihapuskan dengan perasaan syak (tidak pasti)”. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.