BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum,saya Ada soalàn nak Tanya iaitu..baru baru saya Ada beli satu produk strength rambut sebab rambut saya Jeni's kerinting...sebelum saya pakai produk tu..saya tengok dulu ingredients Ada stearyl alcohol..apakah hukum kalau pakai produk yg Ada ingredients alcohol...sebab saya risau solat tidak di terima..mohon penjelesan.sekian terima kasih


message user image

Jawapan  

Penjelasan kepada persoalan ini adalah seperti berikut:- Alkohol Menurut Pandangan Islam (1984) Keputusan : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11-12 April 1984 telah membincangkan Alkohol Menurut Pandangan Islam. 1. Setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alkohol itu mengandungi arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum. 2. Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum. 3. Minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal. 4. Tapai halal dimakan. 5. Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan. 6. Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan. Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-ubatan (2011) Keputusan : Berdasarkan taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia serta dengan mengambil kira keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdahulu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut; 1. Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walau bagaimanapun, bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis. 2. Manakala alkohol yang diperolei bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah beracun dan boleh membunuh. 3. Minuman ringan yang diproses/ dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum. 4. Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum. 5. Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan/diminum. 6. Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%. 7. Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak. ************** Keputusan muzakarah di atas boleh dijadikan rujukan juga bagi penggunaan terhadap kosmetik, dari segi tujuan, cara pembuatan dan penggunaannya. Kesannya terhadap ibadah seharian juga perlu diambilkira agar ibadah kita tidak terjejas kerana penggunaan bahan-bahan yang dilarang oleh syara’. Sekiranya saudara mempunyai keraguan untuk mengenalpasti kandungan sediaan kosmetik, bolehlah merujuk kemusykilan saudara kepada doktor perubatan atau ahli profesional kesihatan yang lain. Pusat Racun Negara di Universiti Sains Malaysia juga menawarkan perkhidmatan penerangan bahan-bahan kosmetik yang diberi secara percuma melalui talian telefon. Kepada yang ingin mendapatkan maklumat sepenuhnya tentang bahan-bahan yang terdapat dalam sediaan kosmetik boleh menghubungi talian 04-6570099 atau boleh layari web : www.prn.usm.my Wallahu ta’ala a’lam. Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 115

message user image