Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, Saya nak tanya, apakah hukum seorang suami tidak memberikan nafkah batin selama hampir setahun? Dengan alasan bentuk badan bukan seperti perawan dahulu kerana pernah melahirkan dua anak?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan, nafkah batin merupakan nafkah yang menjadi tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh suami kepada isteri. Apabila suami dengan sengaja tidak menunaikannya, isteri boleh membuat aduan ke Bahagian Undang-undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Negeri, termasuk menuntut fasakh seperti yang terkandung dalam lafaz taklik semasa akad nikah dijalankan. Ini kerana suami bukan sahaja tidak memberi nafkah batin hingga setahun, tetapi mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar kepada isterinya (menghina). Pada masa yang sama isteri perlu sentiasa menjaga kesihatan dan tubuh badan agar sentiasa disukai oleh suami. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.