Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: A'kum, Saya penggemar muzik dan saya sentiasa mendengar muzik. Apakah hukumnya mendengar muzik dan bermain gitar atau alat muzik DJ saya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, hukum mendengar muzik, bermain gitar atau alat muzik yang lain adalah diharuskan selagi tidak melibatkan seseorang kepada perkara yang diharamkan seperti syirik, pergaulan bebas serta mengabaikan kewajipan sebagai seorang Islam. Antara unsur muzik yang dibenarkan adalah ; a. Mendorong kepada suasana positif; b. Menyuntik ketenangan; c. Membangkitkan semangat yang baik; d. Tidak melambangkan pemujaan atau yang dianggap sakral oleh penganut agama lain; e. Tidak mendorong kepada kekacauan dan ketidakseimbangan pemikiran sehingga boleh melalaikan diri daripada mengingati Allah; f. Tidak membangkitkan emosi negatif yang bercanggah dengan ajaran Islam; g. Tidak mengganggu ketenteraman masyarakat awam; dan h. Tidak membawa kepada perbuatan maksiat. Untuk maklumat saudara, perbincangan secara terperinci berkaitan hiburan telah dikumpulkan di dalam Garis Panduan Hiburan dalam Islam yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan telah diperakukan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor (MJKFNS) kali ke-2/2015 yang bersidang pada 7 April 2015 bersamaan 17 Jumadal Akhir 1436H. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.