Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalammualaikum Ustaz, soalan saya bertanya ni agak merunsingkan saya . Saya nak tanya jika seseorang lelaki itu seorang lelaki yang tulen yang hanya suka pada perempuan tapi disebabkan nafsu serakah dia, dia terpaksa melanggan seorang transgender atau kata nama shemale. Dia sudah melakukan banyak kali perbuatan tersebut hanya untuk melepaskan nafsu air mani dia. Namun dia tidak melakukan persetubuhan tapi hanya menggunakan tangan dan mulut orang tersebut bagi melepaskan nafsu. Apa hukum bagi dosa ni dan adakah taubat dia segera diampunkan selepas dia menyesal melalukan perkara tersebut ? Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, perbuatan melanggan seorang transgender untuk memuaskan nafsu adalah berdosa dan pelakunya wajib bertaubat nasuha di atas perbuatannya serta tidak mengulanginya lagi. Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” (Ali'Imran : 135) Oleh itu, apabila telah menyedari kesilapan dan dosa yang dilakukan, hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT dan tidak mengulangi perbuatan tersebut, mudah-mudahan mendapat keampunan dari Allah SWT. Bagi membendung gejala tersebut, Islam telah memberi panduan kepada umatnya agar sentiasa menjaga pergaulan, kehormatan dan menjaga kemaluannya daripada cenderung kepada syahwat. Terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA., bahawa Rasulullah SAW bersabda: يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء. Maksudnya : “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin) dan sesiapa tidak sanggup, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat membendung syahwat.” (Riwayat Muslim) Begitu juga dengan menjaga pandangan agar tidak memandang kepada benda yang haram. Firman Allah SWT yang bermaksud ; “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.” (An-Nuur : 30) Selepas bertaubat, perbaikilah diri dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT, sentiasa patuh dan taat perintahNya dan jauhi segala laranganNya, bergaullah dengan orang-orang yang soleh serta isi masa lapang dengan perkara yang bermanfaat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.