Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum w.b.t., saya ada beberapa pertanyaan yang ingin diajukan berkenaan hal ehwal rumah tangga. Saya sudah berkahwin tahun 2016 dahulu, dan mempunyai seorang anak yang berumur 10bulan. Masalah saya adalah isteri saya sering menolak ajakan ke tempat tidur. Pada mulanya isteri saya meletakkan syarat hanya seminggu sekali sahaja, namun semakin lama semakin kerap dia menolak, sehinggakan ada menjejak sebulan sekali. Saya faham isteri saya kepenatan nak urus anak yang masih kecil memandangkan anak saya masih lagi “fully breasfeed” lagi, namun begitu soal rumah seperti sapu rumah, basuh baju tak pernah dia buat, saya yang buat semua itu. Dan tiap2 hari di waktu pagi saya yang mandikan anak dan hantar anak ke pengasuh. Jika nak berikan alasan penat, dia hanya ulang alik kerja sahaja, dan permintaan saya bukannya kerap, seperti mana yang isteri saya minta sebelum ni, hanya seminggu sekali. Lagipun isteri saya tidak memasak, dan kebiasannya (Ada juga hari yang tidak) saya akan beli makanan untuk nya lebih2 lagi saya kerja habis malam pada pukul 10malam. Saya tidak tahu nak bertanyakan kepada sesiapa tentang hal ini. Dan jika ada berselisih faham, isteri saya selalu mengatakan saya ni lelaki yang tahu nak kan hubungan seks sahaja. Apa tidak cukup lagi ke apa yang saya bantu dia sebelum ni? Dan saya tak pernah paksa2 dia untuk hubungan seks lebih sekali dalam seminggu sebab saya faham dia penat, tapi kadang2 hati saya sakit jika tiap kali berlaku selisih faham. Itu sahaja lah nak diungkit nya. Setahu saya, isteri tidak boleh menolak ajakan suami ke bilik tidur, dan saya rasa saya memahami keadaan dia. Kalau saya tidak minta pada dia lagi, saya nak minta pada siapa. Nak diikutkan hati saya yang sakit ni, nak sahaja saya ceraikan dia, tapi mungkin Allah kurniakan saya dengan kesabaran yang tinggi, saya masih mampu menahan. Cuma akan datang, saya tak pasti berapa lama saya boleh bertahan dengan cara dia ini. Maaflah tentang aduan yang mana mungkin orang lain tengok aduan saya ni nampak macam remeh, tapi yang menanggung nya saya. Minta pandangan sebaik2 nya dari pihak tuan. Saya dahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, memenuhi kehendak suami untuk melakukan hubungan intim adalah suatu kewajipan kepada isteri. Ini bermakna menolaknya adalah berdosa kerana nusyuz. Kecuali jika isteri berada dalam keuzuran seperti kedatangan haid dan nifas atau tidak ada keupayaan kerana sakit. Penat dan sibuk bukanlah alasan untuk tidak melayani kehendak suami. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: إذَا دَعَا الَرَّجُلُ امْرَأَتَهُ اِلىَ فِرَاشِهِ فَأَبَتْ اَنْ تَجِئَ لَعَنَتْهَا المَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ Maksudnya: “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur, lantas ia tidak mahu datang, maka malaikat melaknatinya sehingga ke subuh” (Riwayat al-Bukhari) Walau bagaimanapun, suami bertanggung jawab mendidik dan menasihati isteri supaya bukan sahaja patuh kepada suami, tetapi juga patuh kepada perintah Allah SWT. Jika isteri masih nusyuz setelah dinasihati oleh suaminya, suami hendaklah meninggalkannya bersendirian di tempat tidur, jika isteri masih juga ingkar dan berterusan dengan perbuatannya, suami boleh memukulnya dengan pukulan mendidik yang tidak mencederakan tubuh badannya dengan harapan agar isteri tersebut kembali sebagai isteri yang taat sebagaimana yang sepatutnya. Firman Allah SWT ; Maksudnya : “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. (an-Nisa’ : 34) Sebaiknya, suami dan isteri hendaklah berbincang secara harmoni bagi mengekalkan hubungan baik suami dan isteri, sentiasa bermuhasabah. Masing-masing mempunyai hak dan tanggungjawab, saling memberi dan menerima, hormat-menghormati dan bertolak ansur. Adakalanya suami juga boleh menggunakan cara memujuk (memikat) isteri dengan lemah lembut, mengambil hatinya dengan intonasi yang mesra agar isteri juga tertawan dan bersedia untuk melayani keinginan suaminya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.