Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya hanya ingin mengetahui sekiranya saya bermusafir dan sudah sampai di tempat tujuan dan tidak bermukim di sana, saya maklum dibenarkan untuk melakukan jamak qasar dengan syarat tidak melebihi 3 hari menetap , tolak perjalanan pergi dan balik. Kemusykilannya sekiranya sudah sampai tempat yang dituju, sudah selesa berada di rumah, ada yang memberitahu lebih elok menunaikan solat dengan sempurna tanpa jamak dan qasar walaupun berstatus musafir. Adakah konsepnya begitu? Saya berharap kemusykilan saya ini dapat diperjelaskan. Segala pertolongan dari pihak tuan saya dahulukan dengan ucapan terima kasih. Saya berharap mendapat jawapan melalui emel
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, sebab yang mengharuskan seseorang mendirikan solat secara jamak dan qasar adalah jarak perjalanan melebihi dua marhalah (90 KM) samada perjalanan tersebut susah atau selesa. Ini kerana sebab (‘illah) hendaklah sesuatu perkara yang boleh diukur dan para ulamak telah bersepakat menjadikan jarak perjalanan sebagai sebab dan bukannya susah atau selesa kerana dua perkara tersebut tidak boleh diukur. Mendirikan solat secara jamak dan qasar ketika bermusafir melebihi jarak dua marhalah merupakan sunnah Nabi SAW. Sekiranya ada orang lain yang boleh solat secara jamak dan qasar bersama puan secara berjamaah, maka perkara ini adalah yang terbaik untuk dilakukan kerana mendapat dua kelebihan iaitu kelebihan solat berjemaah dan kelebihan solat jamak dan qasar ketika bermusafir kerana kedua-duanya merupakan sunnah Rasulullah SAW. Jika tiada orang lain yang boleh solat dan jamak qasar bersama puan secara berjamaah dan dalam masa yang sama ada orang yang solat berjemaah secara tamam (sempurna empat rakaat), maka sebaiknya puan sempurnakan solat bersama jemaah yang ada secara tamam untuk mendapat kelebihan solat berjamaah. Adapun jika puan hanya boleh solat bersendirian maka afdholnya puan solat secara jamak dan qasar secara sendirian kerana perkara tersebut merupakan sunnah Nabi SAW ketika bermusafir sepertimana hadith yang diriwayatkan daripada Saidina Ibnu Umar RA bahawa; عن نافعٍ عن ابنِ عُمرَ رَضِيَ اللهُ عنهما قال: ((صَلَّى رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم بمِنًى ركعتينِ، وأبو بكرٍ بَعدَه، وعُمرُ بعدَ أبي بكرٍ، وعثمانُ صدرًا من خِلافتِه، ثم إنَّ عثمانَ صَلَّى بعدُ أربعًا، قال: فكان ابنُ عُمرَ إذا صلَّى مع الإمامِ صلَّى أربعًا، وإذا صلَّاها وَحدَه صلَّى رَكعتينِ)) Maksudnya ; “Rasulullah SAW solat di Mina (ketika bermusafir) 2 rakaat, Saidina Abu Bakar RA juga melakukan sedemikian, dan Saidina Umar RA selepas Abu Bakar RA juga melakukan sedemikian, dan Saidina Uthman RA melakukan sedemikian pada awal pemerintahannya kemudian beliau solat di pertengahan pemerintahannya sebanyak 4 rakaat. Maka berkata Nafi’ RA, bahawasanya jika Ibnu Umar RA solat bersama imam (yang bermukim) maka beliau sempurnakan 4 rakaat, dan jika beliau solat seorang diri maka beliau solat 2 rakaat.” (Riwayat al-Bukhari) Para Jumhur Ulamak bersepakat bahawa solat secara jamak dan qasar adalah keringanan (rukhsoh) dari Allah SWT untuk orang yang bermusafir dan menjadi pilihan kepada orang yang bermusafir untuk beramal dengan rukhsoh tersebut atau meninggalkannya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.