BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Apakah hukum wanita tua (putus haid) keluar rumah dalm tempoh iddah (4bulan 10hari) setelah kematian suaminya ?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, hukum iddah bagi wanita yang kematian suami sama ada wanita tua atau muda adalah sama iaitu 4 bulan 10 hari, kecuali yang mengandung sahaja. Hukum ini jelas sebagaimana firman Allah SWT; وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ۖ Maksudnya : “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (ber’iddah) selama empat bulan sepuluh hari.” (al-Baqarah : 234) Bukan itu sahaja, mereka yang kematian suami juga wajib ihdad (tidak berhias) sepanjang tempoh ‘iddahnya. Ini berdasarkan kepada hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah Binti Abu Sufiyan RA bahawa baginda SAW bersabda: لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اﻟْﺂخِرِ أَنْ تُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثِ لَيَالٍ إلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا Maksudnya : Tidak Halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk ihdad (tidak berhias) melebihi tiga hari kecuali kematian suami iaitu empat bulan sepuluh hari. (Riwayat al-Bukhari) Wanita yang sedang beriddah boleh keluar rumah ditemani mahramnya pada siang hari sahaja untuk mencari nafkah dan sebarang urusan berkaitan hajat manusia. Mereka juga boleh berbicara dengan ahli keluarganya, menguruskan hal ehwal anak-anak dan rumahnya, serta mendapatkan keperluan asas hidupnya. Keharusan ini adalah berdasarkan kepada dalil yang diriwayatkan daripada Mujahid bahawa ramai lelaki yang gugur syahid dalam peperangan Uhud, lalu balu-balu mereka datang bertemu Rasulullah SAW meminta kebenaran untuk tidur di rumah sesama mereka kerana kesunyian pada waktu malam. Baginda SAW pun bersabda: تحدثن عند إحداكن ما بدا لكن فإذا أردتن النوم فلتؤب كل امرأة منكن إلى بيتها Maksudnya: Berbicaralah sesama kamu apa yang sepatutnya. Akan tetapi apabila tiba masa kamu ingin tidur (pada waktu malam), maka beredarlah setiap daripada kamu ke rumah masing-masing. (Riwayat al-Baihaqi) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 140

message user image