BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Saya mahu bertanya tentang kesahihan hadis yang menyatakan tentang 20 waktu dilarang bersetubuh, yang mana salah satunya ialah dilarang bersetubuh pada waktu selepas zohor dan selepas asar. Adakah dibolehkan atau tidak? Kerana di dalam hadis tersebut juga memberitahu jika bersetubuh pada waktu tersebut akan ada kebarangkalian mendapat anak juling, ank yang tidak baik dan sebagainya. Nauzubillah. Harap ustaz dapat bantu menghuraikan kebingungan saya. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, tiada larangan waktu tertentu untuk bersetubuh diantara suami isteri melainkan ketika isteri sedang haid sahaja, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu.” (al-Baqarah : 222) Hadis yang puan maksudkan, kami tidak menjumpainya. Kewajipan menjaga hubungan suami isteri, masing-masing memberi dan menerima. Bagi suami, Allah SWT berfirman : Maksudnya : “Dan bergaullah dengan mereka (isteri) dengan cara yang ma’ruf atau baik”. (an-Nisa’ : 19) Berdoalah kepada Allah SWT semoga dikurniakan zuriat yang baik dan soleh. Hadis yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya seseorang dari kamu hendak bersama dengan isterinya, maka bacalah; بِسْمِ اللهِ اَللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا Maksudnya : Dengan nama Allah, Ya Allah jauhkanlah kami dari syaitan dan jauhkanlah syaitan untuk mengganggu apa yang Engkau rezekikan kepada kami. (Jika ditakdirkan mereka memperolehi anak dalam hubungan tersebut, syaitan tidak akan mendatangkan mudharat selama-lamanya)” (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 540

message user image