BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, Saya ingin mendapatkan pandangan tuan mengenai penganjuran pertandingan badminton menggunakan duit kutipan bulanan ahli.Pada masa ini, pihak kami yang terdiri lebih kurang 20 orang ingin membuat kutipan tetap secara bulanan dalam RM10 sebulan. Pihak kami merancang untuk menggunakan duit yang terkumpul dalam RM2000 pada akhir tahun bagi menganjurkan pertandingan badminton sesama sendiri. Sehubungan itu kami ingin mendapatkan pandangan dari sudut islam sama duit kutipan ahli ini boleh digunakan untuk membeli hadiah pertandingan di samping perbelanjaan penganjuran seperti pembelian shuttlecock, sewaan court dan penyediaan makan minum.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, berkenaan hadiah, tidak boleh menggunakan duit kutipan bulanan ahli untuk membeli hadiah dalam pertandingan yang dijalankan, ini kerana ada unsur قمار (qimar/ judi). Justeru, semua ahli mempertaruhkan nasibnya. Untung nasibnya pada pihak yang menang, tetapi pihak yang kalah akan merasa kerugian, sedangkan mereka juga turut membayar yuran bulanan. Perkara ini jelas sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud ; “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. (al-Maaidah : 90) Sebaiknya, untuk hadiah pertandingan dicadangkan agar penganjur mencari penaja untuk menaja hadiah para pemenang. Berkenaan duit yuran ahli yang digunakan untuk pembelian shuttlecock, sewaan court dan makan minum adalah dibenarkan kerana semua ahli mendapat manfaat bersama. Turut disertakan Garis Panduan Berasaskan Hadiah yang dikeluarkan oleh JAKIM untuk panduan pihak tuan. http://www.islam.gov.my/images/garis-panduan/garis_panduan_peraduan_berasaskan_hadiah.pdf والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 226

message user image