Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah keputihan yg keluar melalui faraj wanita dihukumkan najis serta membatalkan wuduk dan solat.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, bukan semua keputihan yang keluar melalui faraj wanita dihukumkan najis yang boleh membatalkan wuduk dan solat. Keputihan yang membatalkan wuduk dan solat adalah wadi dan mazi. Justeru, hendaklah dibersihkan sebelum berwuduk. Adapun, yang selain daripada wadi dan mazi bukanlah najis. Ia dikategorikan sebagai kotoran. Memadai dengan membersihkan tempat yang terkena kotoran atau tukar kepada pakaian baru sebelum wuduk dan solat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang)”. (al-A'raaf : 31) Begitu juga dengan firman Allah SWT yang bermaksud; إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (al-Baqarah : 222) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.