Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam.. ustaz / ustazah . Sy nk tya betul ke Allah / Rasulullah laknat wanita yg sering ziarah kubur? Dan benarkah di kubur tak boleh baca Alquran?? Anak saya berumur 2 tahun meninggal pada 2/2/20 tadi. Tapak perkuburan berhampiran rumah saya. Hari2 saya ziarah kuburnya dan baca Yassin. Sebab bila sy ziarah kubur, sy akan ingat yang kematian sgt dekat. Dan sy rasa insaf dan berusaha nk jadi hamba Allah yg beriman. Sy juga rindu anak saya. Tapi saya x pernah nangis kat kubur tu.. terima kasih kerana menjawab persoalan saya.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, secara umumnya hukum menziarahi kubur bagi wanita adalah makruh kerana dikhuatiri tidak dapat mengawal perasaan lalu menjerumuskan dirinya dalam dosa seperti meratap. Namun, jika wanita itu diyakini kuat imannya dan aman dari fitnah maka tidak makruh dan harus menziarahi kubur dengan syarat menjaga adab-adab ziarah. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud, bahawa Rasulullah SAW bersabda : كنت نهيتكم عن زيارة القبور، فزوروا القبور فانها تزهد في الدنيا وتذكر الأخرة Maksudnya : “Saya pernah melarang kamu sekalian menziarahi kuburan, maka berziarahlah kalian ke kubur. Maka sesungguhnya kuburan itu adalah dapat menjadikan benci dalam urusan duniawi serta dapat mengingatkan akan negeri akhirat” (Riwayat Ibnu Majah) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.