Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apekah hukum pekerja islam yang menyusun tin2 arak dan kerja2 pembayaran arak di kaunter kerana bekerja.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, apa jua pekerjaan yang melibatkan arak hendaklah dijauhi. Ini jelas sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud ; “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. (al-Maaidah : 90) Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA; لعن النبى ﷺ في الخمر عشرة: عاصرها ومعتصرها وشاربها وحاملها والمحمولة إليه وسافتها وبائعها وآكل ثمنها والمشتري لها والمشتراة Maksudnya : “Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.” (Riwayat at-Tirmizi) Oleh itu, penglibatan pekerja muslim secara langsung dengan menyusun tin-tin arak dan pembayaran arak di kaunter adalah termasuk dalam perkara yang dilaknat oleh Allah SWT, maka ia diharamkan. Sebaiknya, tugas tersebut hendaklah diberi kepada pekerja yang bukan muslim. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.