Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum warrahmatullah, Tuan SS Mufti Selangor yang dihormati,Semoga tuan sentiasa didalam kandungan sehat dan berbahagia.Dengan rendah diri saya mohon sedikit ruang dan masa Tuan SS Mufti untuk saya mengemukakan pertanyaan berhubung perkara di atas.Di surau kami ada seorang makmum yang begitu aktif menyapukan minyak wangi kepada jemaah lain terutama sekali semasa iqamat telah dibacakan dan imam telahpun menyeru agar meluruskan serta merapatkan saf dan bersedia untuk takbiratul ihram. Saya selalunya menolak pemberian minyak wangi tersebut secara baik setiap kali jemaah tersebut cuba untuk menyapukan nya ke tangan saya.Saya memang menyedari sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW, bahawa tiga perkara pemberian yang tidak boleh ditolak ialah bantal untuk alas duduk , susu untuk diminum dan minyak wangi.Akan tetapi tentu ada huraian yang lebih mendalam tentang perkara-perkara tersebut khususnya yang berkaitan dengan minyak wangi itu. Umpamanya takrif minyak wangi itu sendiri, bauan wangian yang menjadi kesukaan Nabi, kaedah atau tatacara pemberian minyak wangi itu termasuklah masa dan ketika yang sesuai untuk membuat pemberian itu. Saya menolak pemberian itu dengan baik kerana: 1. Mahu fokuskan sepenuh perhatian, minda dan fizikal saya untuk mendirikan solat pada ketika itu. Dengan kata lain tidak mau ada apa-apa perkara lain yang mungkin boleh memesongkan konsentrasi saya apabila sudah berada didalam saf. 2. Saya memang telah memakai wangian kesukaan saya sendiri dari rumah setiap kali menyiapkan diri untuk pergi solat di surau. Saya memang sedar ianya seolah-olah tidak menghormati pemberian orang lain dan mungkin juga jemaah tersebut rasa kecil hati kerana pemberian nya ditolak. Akan tetapi sekiranya saya terus menerus menerimanya, saya sendiri akan menjadi tidak tenteram kerana tidak menggemari nya samada dari segi bauan nya maupun masa nya yang tidak sesuai. Untuk mengelakkan salah faham saya hanya mampu dengan cara menjauhkan diri daripadanya. Jadi pertanyaan saya apakah hukumnya saya menolak pemberian minyak wangi tesebut? Jawapan dan maklumbalas daripada pihak tuan saya dahului dengan ucapan berbanyak terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, menolak pemberian minyak wangi adalah dilarang, ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda : من عرض عليه ريحان فلا يرده فإنه خفيف المحمل طيب الريح Maksudnya : “Sesiapa yang diberikan minyak wangi, janganlah dia menolaknya kerana minyak wangi itu ringan diterima dan baunya harum” (Riwayat Muslim) Larangan ini atau tujuannya adalah bagi menjaga perasaan pemberi minyak wangi, kerana menerimanya adalah suatu perkara yang ringan, sehingga tidak selayaknya ditolak. Walau bagaimanapun, jumhur ulama’ mengatakan larangan ini bersifat makruh dan bukannya haram. Sekiranya terdapat sebab yang munasabah seperti tidak tahan dengan baunya atau tidak sesuai dengan penerimanya, maka boleh tolak dengan cara baik. Tindakan yang terbaik adalah berbincang bersama-sama dengan pihak surau, antaranya boleh diletakkan beberapa botol minyak wangi di surau tersebut untuk kegunaan jemaah tanpa perlu menyapukan kepada setiap jemaah yang hadir. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.