Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Ustaz, Bolehkah isteri saya tidak memakai stokin apabila pulang ke kampung dimana ada adik-adik ipar lelaki juga tinggal di dalam rumah yang sama. Selalunya kami sekeluarga akan tidur 1 - 2 malam di kampung dan isteri saya sudah tentu akan melakukan kerja-kerja harian di dapur dan menguruskan anak-anak kecil di tandas. Adakah dibolehkan isteri saya tidak memakai stokin atas alasan masyaqqah ?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, adalah disarankan supaya isteri melabuhkan kain sarung atau seluar yang dipakai agar dapat menutupi kaki dan mengurangkan aurat kaki yang terdedah walaupun dalam keadaan yang sukar. Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Oleh itu bertaqwalah kepada Allah sedaya upaya kamu dan dengarlah akan (pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah akan perintah-perintahNya” (at-Taghabun : 16) Dalam kaedah fiqh ada menyebut : إذا ضاق الأمر اتسع Maksudnya : “Apabila suatu perkara itu menjadi sempit maka ia diperluaskan” والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.