Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalam Tuan Mufti. Saya meminta pencerahan tentang pahala ke atas derma yang diberi kepada scammer (penipuan derma). Saya ada mendengar pendapat yang mengatakan penderma tidak mendapat pahala penuh kerana sumbangan tidak sampai ke pihak yang sepatutnya. Ada pula pendapat yg mengatakan penderma mendapat pahala penuh kerana niatnya telah dilaksana. Mohon jasa baik pihak tuan mufti utk menyelesaikan persoalan Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, dalam keadaan kita tidak mengetahui sama ada pengutip derma itu adalah scammer ataupun tidak, kita tetap akan mendapat pahala di atas niat baik dan perbuatan baik (derma) yang kita lakukan itu. Ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, daripada Nabi SAW, Baginda meriwayatkan (hadith qudsi) daripada Allah SWT berfirman, Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan balasan setiap kebaikan (pahala) dan setiap kejahatan (dosa). Kemudian Allah menjelaskan maksudnya: “Maka sesiapa berniat melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya (kerana keuzuran), maka Allah SWT menulis kebaikan itu disisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna untuknya. Sekiranya dia berniat untuk melakukan kebaikan, lalu dia melakukannya, maka Allah SWT menulis kebaikan itu disisi-Nya sebanyak sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus gandaan, sehingga gandaan kebaikan yang banyak untuknya. Sebaliknya jika dia berniat melakukan kejahatan, tetapi dia tidak melakukannya (kerana takut kepada Allah SWT), maka Allah SWT menulis disisi-Nya satu kebaikan yang sempurna baginya. Sekiranya dia berniat melakukan kejahatan, lalu dia melakukannya, maka Allah akan menulis kejahatan itu baginya hanya sebagai satu kejahatan.” (Riwayat al-Bukhari) Justeru, tidak menjadi soal jika kita sebenarnya telah terdermakan kepada scammer kerana diluar pengetahuan kita, tetapi kita tetap mendapat pahala dengan sedekah yang telah kita dilakukan. Adapun, scammer tersebutlah yang akan menanggung dosa dan menerima balasan dari Allah SWT di atas penipuannya kepada orang ramai. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.