Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: assalam. Saya dalam proses menjual rumah di mana rumah masih ada penyewa. Pembeli telah menjelaskan keseluruhan harga rumah tetapi wang masih ditangan peguam kerana proses tukar hakmilik belum selesai. Soalan1: Adakah rumah tersebut masih milik saya kerana walaupun pembeli telah menjelaskan semua bayaran tetapi masih dalam proses tukar hak milik. Soalan 2: Adakah bayaran sewa bulan tersebut hak saya atau hak pembeli? Soalan 3: Adakah saya berhak untuk melanjutkan sewa rumah tersebut untuk bulan berikutnya? Wassalam.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan, berikut adalah jawapannya: 1. Mengikut kepada undang-undang dan peraturan pemilikan rumah hanya boleh bertukar kepada seseorang yang lain apabila telah selesai ditukar nama secara sah antara penjual kepada pembeli (Pejabat Tanah). Menjelaskan bayaran keseluruhan harga rumah adalah masih dalam proses jual beli dan ia masih belum boleh dianggap selesai. Di samping pembayaran penuh tersebut masih tertangguh disebabkan ianya masih di tangan peguam. 2. Sewa bulanan adalah masih milik penjual kerana proses jual beli masih belum selesai. Melainkan terdapatnya sesuatu perjanjian khusus berkaitan ini antara penjual, penyewa dan pembeli. 3. Penjual tidak wajar untuk melanjutkan lagi sewa rumah tersebut kerana ditakuti proses jual beli boleh diselesaikan dalam kadar waktu yang cepat sedangkan tempoh sewaan masih berlangsung, ini pasti memberi kesan buruk kepada penyewa dan juga pembeli. Sewajarnya pihak tuan selaku penjual telah memberi maklum kepada penyewa bagi urusan jual beli ini supaya penyewa dapat mencari rumah yang lain dalam kadar yang segera. Kesimpulannya, penjualan rumah adalah bersifat fleksibel namun ia perlu diperhalusi dengan ikatan kontrak atau perjanjian bagi memberi hak yang sebaiknya kepada penjual, penyewa dan pembeli. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.