Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: SOLAT MUSAFIR Assalamualaikum, saya ingin bertanya. Saya bermusafir dari Melaka ke Kuala Lumpur, dalam perjalanan saya singgah di Nilai untuk hantar barang suami. Melaka rumah ibu bapa saya, Nilai rumah suami. Semasa singgah di Nilai, azan maghrib berkumandang, jadinya di sini saya ada 2 soalan. 1) Adakah saya dan suami boleh solat musafir di Nilai memandangkan kami masih bermusafir? 2) Adakah saya boleh solat musafir di Melaka iaitu rumah ibu bapa saya sepanjang musafir?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, 1. Oleh kerana dari Melaka puan telah berniat musafir ke Kuala Lumpur, puan dan suami masih boleh melakukan solat jamak di Nilai, dengan syarat belum memasuki kawasan kariah rumah sendiri. Bermakna, boleh menunaikan solat jamak maghrib dan isyak di masjid atau surau yang berada diluar kariah. Jika telah sampai di rumah sendiri, maka terputuslah permusafiran, kerana telah kembali ke tempat mastautin/ muqim. 2. Puan boleh solat jamak di rumah ibu bapa di Melaka sepanjang musafir dengan syarat perjalanan tersebut melebihi 2 marhalah (90 KM) dan menginap tidak lebih dari 3 hari, jika lebih ia dikira bermukim. Jika jarak antara Nilai dan Melaka kurang dari 2 marhalah, maka tidak harus solat jamak. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.