Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum tuan mufti,saya ada soalan.bolehkah isteri guna duit tunai arwah suami yang belum di faraid untuk kegunaan harian sementara menunggu proses faraid dijalankan jika tiada sesiapa yang boleh menanggung keluarga arwah pada ketika itu? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, sebaik sahaja berlaku kematian, maka semua harta si mati menjadi harta peninggalan yang perlu difaraidkan. Walau bagaimanapun, adalah menjadi kewajipan kepada waris suami untuk menanggung nafkah iddah balu arwah (selama 4 bulan 10 hari) dan anak-anaknya selepas berlakunya kematian. Jika tiada sesiapa yang sanggup menanggung mereka, balu arwah boleh menggunakan wang tunai yang masih tinggal untuk keperluan harian seperti makan minum, belanja dapur, keperluan anak, persekolahan, bil-bil dan seumpamanya. Sebaiknya perbelanjaan tersebut hendaklah dicatat (rekod sebagai bukti). Jika ada sumbangan dari orang ramai semasa kematian arwah, balu juga boleh mengambil wang tersebut untuk digunakan, kerana wang sumbangan tidak termasuk sebagai harta pusaka si mati. Dalam masa yang sama, berusahalah untuk menyegerakan urusan pembahagian harta setelah ditolak segala tanggungan si mati dari segi hutang piutangnya antara sesama manusia atau dengan Allah SWT. Jika tiada kemahiran untuk menguruskan, bolehlah merujuk ke Unit Faraid Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) atau Majlis Agama Islam Negeri puan tinggal. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.